Sukan merupakan antara industri yang cukup besar pada masa kini. Melalui sukan, akan berlakunya perkembangan sumber ekonomi bagi negara Malaysia.
Dalam Belanjawan 2020 ini nampaknya, peruntukan yang disediakan agak besar terutama bagi persediaan atlet ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 serta Sukan SEA 2021.
Bola sepak mendapat peruntukan yang besar selepas RM45 juta diumumkan untuk memperkasakan Program Pembangunan Bolasepak Negara(PPBN). Ia merupakan peruntukan yang besar berbanding hanya RM15 juta pada Belanjawan 2019 yang lalu.
“RM299 juta untuk Program Sukan Untuk Semua, termasuk menaik taraf kemudahan sukan seperti Kompleks Belia dan Sukan serta komuniti sukan seluruh negara.
“Kemudian, RM179 juta khas untuk persiapan Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Sukan SEA 2021 serta pembangunan atlet paralimpik,” katanya ketika membentangkan belanjawan itu di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, dalam memastikan persiapan lebih jitu untuk merangkul pingat emas pertama Sukan Olimpik, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM179 juta untuk menghadapi temasya di Tokyo, tahun depan.
Peruntukan itu turut dikongsi dengan persiapan Sukan SEA 2021 serta pembangunan atlet paralimpik.
Dalam masa sama, RM10 juta diperuntukkan untuk memastikan pembangunan atlet wanita sentiasa berada di landasan terbaik.
“Kejayaan atlet wanita negara seperti Datuk Nicol Ann David (skuasy), Pandelela Rinong (terjun) dan Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik) ke peringkat tertinggi telah membanggakan rakyat dan negara,” tambahnya.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria, melihat langkah itu sebagai tanda sokongan penuh pihak kerajaan dalam memartabatkan industri sukan tanah air ke peringkat lebih tinggi.
“Belanjawan 2020 jelas menuntut komitmen kami untuk menghadapi Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik 2020 dalam usaha meraih pingat emas pertama. Walaupun sukar, apa yang diberikan ini merangsang semangat dan usaha kami untuk mencapai kejayaan tersebut,” kata Ahmad Shapawi.
“Saya melihat peruntukan yang diberikan oleh kerajaan bertumpu kepada beberapa perkara. Ia untuk menambah baik komuniti kompleks sukan, persiapan menghadapi Sukan Olimpik 2020 serta Sukan SEA 2021, pembangunan atlet wanita dan e-sukan,” tambah Norza.
Belanjawan 2020 untuk industri sukan:
RM299 juta untuk menaik taraf kemudahan sukan, termasuk Kompleks Belia dan Sukan serta Kompleks Sukan Komuniti;
RM179 juta untuk persiapan saingan antarabangsa seperti Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik 2020 serta Sukan SEA 2021;
RM45 juta untuk Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN);
RM10 juta untuk pembangunan atlet wanita
Sumber :-Stadium Astro
Please follow and like us: