JOHOR BAHRU, 4 Okt — Sebanyak 48 rekod kebangsaan berjaya dipecahkan pada Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan Siri Dua 2019 yang berlangsung di pusat membeli-belah U Sentral Segamat, yang berakhir dua hari lepas.
Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia Datuk Ayub Rahmat berkata daripada jumlah itu, 12 rekod senior dan sembilan rekod junior kebangsaan kategori lelaki diperbaharui, sementara kategori wanita pula melibatkan 14 rekod senior dan 13 rekod junior kebangsaan.
“Antara rekod diperbaharui adalah kategori ‘snatch’ serta ‘clean & jerk’ dan keseluruhan angkatan seberat 328 kilogram (kg) bagi remaja lelaki terbuka menerusi atlet dari Perak, Muhd Hafiz Shamsuddin.
“Atlet Sarawak, Jerry Anak Gawan pula berjaya memperbaharui rekod dalam clean & jerk serta keseluruhan angkatan seberat 317 kg,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Ayub yang juga Presiden Angkat Berat dan Bina Badan Johor, berkata seramai 124 atlet dari 14 kontinjen negeri serta Polis Diraja Malaysia menyertai kejohanan berkenaan yang bermula 28 Sept lepas.
Beliau berkata Terengganu muncul juara keseluruhan daripada 10 kategori yang dipertandingkan pada kejohanan itu, masing-masing dalam kategori remaja lelaki dan wanita terbuka, dengan kutipan lapan pingat emas, sembilan perak dan tiga gangsa.
Sementara Putrajaya muncul naib juara keseluruhan dengan pungutan enam pingat emas dan tiga perak, diikuti Sarawak yang meraih enam emas, satu perak dan dua gangsa, katanya.
Penganjuran kejohanan itu mendapat kerjasama Majlis Sukan Negara, Majlis Sukan Negeri Johor dan pejabat kerajaan daerah Segamat.
— BERNAMA
Please follow and like us: