SINGAPURA- Seorang wanita rakyat Malaysia ditahan di Pusat Pemeriksaan Woodlands selepas cuba menyeludup syabu biru dianggarkan bernilai S$20,000 (RM62,530) ke negara itu, pada Jumaat, 13 Oktober lalu.
Menurut Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura menerusi satu kenyataan bersama, pada Ahad, dadah berkenaan dibawa di dalam sebuah kereta bernombor plat Malaysia yang tiba di pusat pemeriksaan tersebut pada jam 8.00 malam.
Kereta itu dipandu oleh seorang wanita berusia 23 tahun.
Semasa pemeriksaan dilakukan, seorang pegawai ICA menjumpai satu paket syabu di dalam ruang pemegang cawan tempat duduk belakang kereta tersebut, lapor akhbar The Straits Times.
Dalam kenyataan rasmi itu lagi, ICA dan CNB berkata sempadan Singapura merupakan pusat kawalan pertama dalam menjaga keselamatan negara tersebut.
“Pasukan agensi dalam negeri republik ini akan terus-menerus menjalankan pemeriksaan terhadap penumpang dan kenderaan mereka di pusat-pusat pemeriksaannya bagi menghalang aktiviti penyeludupan manusia, dadah, senjata, bahan letupan dan lain-lain bahan terlarang,” tambah ICA dan CNB dalam kenyataan itu. – MYNEWSHUB.CC
Loading...