loading...

Tebing Gunung Kinabalu Tiba-Tiba Runtuh Besar

KOTA KINABALU – Penduduk Sabah gempar apabila satu runtuhan besar dilaporkan berlaku di kawasan tebing Gunung Kinabalu secara tiba-tiba kira-kira pukul 3.15 petang Sabtu.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Leftenan Kol. Mohd. Izaimi Md. Daud berkata, lokasi kejadian tersebut dikenal pasti di Ulu Sungai Masilou 2, Kampung Masilou. Kundasang.

“Pihak APM Sabah telah pun menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.15 petang daripada beberapa penduduk dari Kampung Masilou mengenai kejadian runtuhan berskala besar tersebut.

“Bertindak atas maklumat itu, dua pasukan APM segera bergegas ke lokasi untuk mengambil keterangan penduduk dan memantau keadaan,” katanya dalam kenyataan di sini petang Sabtu.

Mohd. Izaimi berkata, hasil pemantaun pihaknya mendapati runtuhan berlaku di tebing gunung berkenaan pada kedudukan 1.5 kilometer bersebelahan bekas resort MNR, Stesen Taman Kinabalu Masilou.

Sehubungan itu kata beliau, anggota APM menasihati penduduk di kampung berkenaan agar tidak panik dengan kes runtuhan yang berlaku kerana keadaan setakat ini didapati masih lagi terkawal.

Puncak tertinggi rantau Asia tenggara itu pernah digegarkan dengan gempa paling kuat iaitu 5.9 skala Richter pada 2015 yang menyaksikan puluhan pendaki dan malim maut. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...