loading...

Peristiwa Amukan Berdarah Menjelang Senja Di Perak

Suatu petang sebelum matahari terbenam, Imam Mamat datang secara senyap ke rumah abang iparnya di Pasir Garam, Sungai Perak. Di tangannya tergenggam erat sebatang tombak. Di pinggangnya tersisip kemas golok tajam.

Sebaik menaiki rumah dia segera bersalam dengan abang iparnya Bilal Abu lalu memohon keampunan. Sebaik melihat isterinya Alang Rasak yang sedang mengandung dia menerpa ke arahnya juga memohon keampunannya. Tanpa disangka dia menghunus goloknya lalu merodok perut isterinya!

Terkejut melhat kejadian yang tidak disangka itu, Bilal Abu spontan meluru ke arah adiknya yang rebah berlumuran darah. Malangnya dia juga menerima nasib yang sama apabila menerima tikaman tepat pada jantungnya.

Isteri Bilal Abu bernama Ngah Intan juga berbadan dua bersama dengan empat orang anaknya segera melarikan diri sebelum golok Imam Mamat memangsakan mereka. Kassim berusia 14 tahun anak Bilal Abu tidak sempat keluar rumah apabila terkena tikaman dari belakang. Tetapi mujurlah dia terselamat kerana dapat melarikan diri.

Kebetulan seorang lelaki berada tidak jauh dari situ terdengar teriakan isteri Bilal Abu. Dia segera datang dan memasuki rumah tersebut. Tanpa diduga dia diserang oleh Imam Mamat sehingga terjatuh ke tanah. Nasibnya baik dengan kecederaan yang sedikit, dia berjaya melarikan diri.

Mendapat dua lagi batang tombak dari rumah tersebut, Imam Mamat segera mengejar Ngah Intan dan tiga lagi anak-anaknya. Kira-kira seratus ela dari rumah, dia berjaya mengejar dan membunuh tiga beranak tersebut. Seorang lagi anak perempuan Bilal Abu bernama Teh 6 tahun ditikam dua kali di belakang, tapi terselamat.

Tidak berhenti di situ, Imam Mamat yang sudah hilang kewarasan akibat amarah yang membuak-buak menyusuri tebing sungai lalu terserempak seorang kawan bernama Uda Majid.

Yakin yang dia mampu memujuk Imam Mamat, dia menyapanya dengan penuh hormat lalu berkata, “Kau kenal aku kan, jangan buat masalah.”

“Ya, aku kenal kau, tapi tombakku ini tidak mengenal mangsa,” balas Imam Mamat lalu menikam Uda Majid!

Walaupun tercedera, Uda Majid bergelut cuba merampas tombak yang tergenggam kejap dalam genggaman Imam Mamat. Malangnya dia ditikam dua kali tepat di tenggorok dan dada sehingga tersungkur atas tanah. Dia cuba bangkit semula tetapi sekali lagi ditikam dua kali di belakang.

Seorang lelaki yang melihat kejadian itu tidak dapat berbuat apa-apa kerana dia tidak memiliki senjata untuk menentang Imam Mamat yang sedang menggila.

Selesai menamatkan riwayat Uda Majid, dia berkeliaran lagi di sepanjang tebing sungai. Saksi melihatnya dua kali cuba menyeberangi sungai yang dalam sebelum kembali semula. Selepas itu dia hilang entah ke mana.

Maka hebohlah di sekitar kampung; ada orang mengamuk! Tidak kurang dua ratus lelaki bersenjata diketuai ketua kampung cuba memburu Imam Mamat, tetapi gagal.

Kemudian pada hari kedua kira-kira pukul 6 petang tatkala matahari baru saja tenggelam di ufuk barat, Imam Mamat muncul di depan rumah seorang penduduk kampung bernama Lasam. Pada ketika itu rumah tersebut dihuni oleh 4 lelaki, 5 perempuan dan 7 kanak-kanak. Satu-satunya senjata yang mereka ada cuma sebatang tombak.

Lasam hampir saja tidak sempat menutup pintu rumahnya. Lasam bertanya hajat kedatangan Imam Mamat. Dalam keletihan Imam Mamat memberitahu yang dia ingin meminta izin untuk tidur di rumahnya.

Lasam membalas dia boleh masuk ke dalam rumah dengan syarat melepaskan semua senjata di tangannya. Mendengar jawapan itu, Imam Mamat segera melontar tombaknya ke arah Lasam melalui jendela. Mujur lontaran itu tersasar.

Dengan bantuan anak lelakinya mereka memegang tangan Imam Mamat cuba merampas senjatanya. Tetapi muka Lasam terkena satu tikaman dari golok Imam Mamat.

Semasa pergelutan ini, Imam Mamat hampir memasuki rumah melalui jendela. Lasam segera menikam peha Imam Mamat dengan tombaknya. Imam Mamat yang tercedera jatuh ke bawah sehingga batang tombak yang tertancap di pehanya patah!

Dalam kegelapan malam, mereka tidak dapat melihat kelibat Imam Mamat. Tidak diketahui setakat mana kecederaannya.

Salah satu penghuni keluar melalui pintu belakang berlari menuju ke rumah ketua kampung memberitahu insiden yang baru berlaku. Tanpa membuang masa, ketua kampung dan beberapa pengikutnya datang ke rumah. Dalam samar cahaya jamung mereka melihat Imam Mamat sedang terbaring lesu akibat kecederaan di peha kanan.

Dia segera ditangkap dan diserahkan kepada polis lalu dibawa ke Teluk Anson. Selepas 23 jam menanggung sengsara, dia meninggal dunia akibat kehilangan darah yang banyak.

Amukan berdarah ini berlaku di Perak pada 11 Februari 1891 yang mengorbankan enam orang (termasuk Imam Mamat) dan mencederakan empat orang yang lain. Selepas 126 tahun berlalu, punca amukan Imam Mamat, seorang lelaki yang dihormati dan mempunyai reputasi yang baik dalam kalangan jiran dan rakan kekal menjadi misteri.

Laporan bedah siasat terhadap mayat Imam Mamat antara lain menyebut: “… bahawa bedah siasat terhadap mayat Imam Mohamed menunjukkan dia meninggal akibat pendarahan yang teruk dari luka bahagian luar peha kanannya. Organ dalamannya semua kelihatan sihat kecuali membrane otaknya lebih pekat dari biasa.”

(Sumber maklumat cerita ini diambil dan diubahsuai dari buku tulisan Sir Frank Swettenham “The Malay Sketches” terbitan tahun 1895).

Comments

comments

Previous
Next Post »
loading...