loading...

Bajet 2018: MAAC Sokong Insentif Kenaikan Gaji Penjawat Awam

SEREMBAN – Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) menyokong penuh cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) agar kerajaan mempertimbangkan insentif dua kenaikan gaji tanpa mengira kumpulan pekerjaan dan pangkat.

Presiden MAAC Profesor Datuk Dr Mohd Idrus Mohd Masirin berkata bagaimanapun, pelaksanaan cadangan tersebut perlulah mengambil kira kemampuan semasa kerajaan.

“Sama ada kerajaan akan memberikan kenaikan gaji tahunan atau bonus sebulan gaji, ia amat diperlukan kerana penjawat awam adalah individu yang bergantung sepenuhnya kepada gaji yang mereka terima setiap bulan dan mereka juga merupakan pencarum tetap kepada kutipan cukai yang menjadi hasil pendapatan negara.

“Maka, sekiranya bonus sebulan gaji diberikan kepada penjawat awam, ia seakan memberikan semula gaji mereka yang dicukai manakala pemberian kenaikan gaji adalah bagi menampung kenaikan kos sara hidup yang sedang berlaku,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Pada 29 Sept lepas, Cuepacs dilapor sebagai berkata meminta kerajaan mempertimbangkan insentif dua kenaikan gaji tanpa mengira kumpulan pekerjaan dan pangkat.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata inisiatif itu akan membantu meringankan beban penjawat awam yang berdepan kos sara hidup tinggi.

Mengulas lanjut, Mohd Idrus berkata MAAC menyokong cadangan tersebut kerana ia mampu mengurangkan impak kenaikan kos sara hidup kepada penjawat awam dan akan mampu untuk memberi sedikit ketenangan dalam situasi ekonomi semasa.

Pada Selasa lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dipetik sebagai berkata beberapa khabar gembira dan penambahbaikan untuk penjawat awam akan diumumkan dalam Bajet 2018 yang akan dibentangkan pada 27 Okt ini. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...