KUALA LUMPUR – Penyanyi popular era 80-an, Ben Nathan masih lagi berehat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan berada di bawah pemantauan doktor.
Menurut adiknya, E. Santhi, keadaan Ben Nathan juga stabil dan tidak menunjukkan sebarang tindakan agresif.
“Sebelum ini kita pernah bawa dia pergi hospital tetapi dia meronta-ronta mahu keluar. Tetapi setakat ini dia masih mendengar kata.
“Lagipun dia tahu semalam, Datuk DJ Dave yang bawa dia ke hospital dan ramai petugas media datang bertemunya,” kata Santhi di sini semalam.
Nama Ben Nathan menjadi sebutan ramai kebelakangan ini apabila kisahnya yang hidup ibarat gelandangan menjadi tular di laman sosial.
Susulan itu, DJ Dave yang juga Presiden Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M), telah berjumpa Ben Nathan buat kali keempat semalam dan terus membawanya ke hospital untuk rawatan lanjut.
Tambah Santhi, laporan kesihatan yang diberikan doktor menunjukkan abangnya itu tidak menghidapi sebarang penyakit yang serius.
“Doktor hanya memberi dia ubat tidur supaya dia dapat berehat. Sudah lama agaknya dia tidak mendapat tidur yang cukup sepanjang berada di jalanan.
“Selain itu, doktor beritahu keadaan Ben Nathan sihat. Ujian air kencing juga menunjukkan dia bebas daripada sebarang pengaruh negatif,” katanya.
Ditanya mengenai tindakan susulan yang akan diambil oleh ahli keluarga, Santhi menjelaskan, buat masa ini dia merancang untuk membawa pulang dan menjaga abangnya itu.
“Semalam saya sudah berjumpa dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan menurut mereka, keadaan Ben Nathan tidaklah teruk sangat.
“Malah mereka beritahu ada individu yang lebih teruk daripada dia. Jadi, saya fikir untuk masa terdekat ini, lebih baik kami sekeluarga yang menjaganya dahulu,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah HKL, Datuk Dr. Zainiah Mohd. Zain berkata, hasil pemeriksaan kesihatan terhadap penyanyi itu mendapati dia berada dalam keadaan normal dan sihat.
“Ben Nathan berada dalam keadaan baik. Mungkin keadaan yang tidak terurus menyebabkan dia kelihatan tidak normal seperti orang lain.
“Namun, kita masih menunggu keputusan ujian darah untuk menentukan sama ada dia sudah boleh keluar wad, buat masa ini kita merawatnya dan masih dalam pemantauan doktor,” katanya.
Tentang Ben Nathan yang sering bercakap mempunyai rakaman dan persembahan mahu dilakukan, Zainiah berkata, dia mungkin mengalami tekanan atau kemurungan sehingga berkelakuan kurang normal. – UTUSAN
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW