SUNGAI BULOH – Tambang percuma selama sebulan perkhidmatan Transit Aliran Massa Laluan Sungai Buloh – Kajang (MRT SBK) dapat dinikmati rakyat sempena pelancaran sulung laluan itu bermula esok pagi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perkhidmatan pengangkutan tren percuma yang dikendalikan oleh RapidRail Sdn. Bhd. itu dapat dinikmati pengguna bermula esok selama sebulan sehingga 17 Januari depan.
“Sebagai hadiah kepada rakyat bagi Tahun Baru serta memberi peluang kepada rakyat untuk mencuba kemudahan pengangkutan awam yang baharu, moden dan efisien, saya mengumumkan bahawa Rapid Rail akan memberi perkhidmatan MRT percuma selama sebulan mulai esok sehingga 16 Januari ini.
“Ia termasuklah perkhidmatan bas pengantara. Tambang hanga akan dikenakan bermula 17 Januari ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Operasi Fasa Pertama MRT SBK di Stesen MRT Kwasa Damansara di sini hari ini, sebentar tadi.
Perdana Menteri berkata, pembukaan laluan Fasa 1 MRT SBK bermula daripada Sungai Buloh hingga ke Semantan yang turut melalui 10 stesen lain sekitar Damansara yang menghala ke pusat bandar.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Nepal, Krishna Bahadur Mahata; Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani; dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa dan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Seri Shahril Mokhtar, turut hadir.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW