Seorang remaja 19 tahun itu didakwa selepas cuba memasuki bangunan pencakar langit di New York, Trump Tower yang merupakan kediaman Donald Trump dengan pisau, garrote (alat untuk mencekik) dan bunga api.
Agensi melaporkan, Alexander Wang, yang berasal dari komuniti kecil Poughquag, kira-kira 112 kilometer ke utara Manhattan, didakwa memiliki senjata dan bunga api secara haram, kata seorang jurucakap polis.
Trump banyak menghabiskan sebahagian besar masa di Trump Tower di Fifth Avenue sejak menang mengejut dalam pilihan raya presiden bulan lalu.
Bagaimanapun tidak jelas jika Trump berada dalam bangunan itu semasa tangkapan remaja tersebut.
Polis telah dikerahkan mengawal sepanjang masa di luar Menara Trump sejak 8 November lalu dan pelawat perlu melakukan imbasan beg sebelum masuk ke lobi awam, yang kini telah bertukar menjadi tarikan pelancong.
Bangunan pencakar langit 58 tingkat itu berfungsi sebagai ibu pejabat konglomerat Trump – The Trump Organization dan kediamannya.
Pada bulan Ogos lalu, tiga bulan sebelum pilihan raya, seorang remaja Amerika telah ditahan dan didakwa menceroboh selepas menggunakan cawan sedutan untuk memanjat bangunan Trump Tower.
New York sedang mendapat peruntukan sehingga AS$35 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk kos melindungi Trump sehingga pelantikannya pada 20 Januari ini.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW