KUALA LUMPUR – Pada usia 70, tahun, Melan Lamin sepatutnya boleh duduk selesa di rumah daripada bersesak-sesak dengan ribuan pengunjung sempena Perhimpunan Agung UMNO 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Namun pesara dari Gelang Patah, Johor itu tidak pernah menyesal mahu pun kenal erti lelah untuk menghadirkan diri ke perhimpunan terbesar orang Melayu itu.
“Semangat saya rasa lain macam apabila berada di sini. Biar apa orang kata, sebagai ahli UMNO, saat ini yang paling ditunggu,” katanya kepada Utusan Online hari ini.
Beliau yang sudah menghadiri lebih 20 Perhimpunan Agung UMNO memberitahu, di saat awal, pelbagai cabaran pernah ditempuh.
“Dahulu mana ada duit. Kalau tak mampu tidur hotel, kami tidur di masjid atau tempat awam,” katanya.
Ambun Said, 75, (gambar) dari Sabah pula berkata, dia akan membuat tempahan tiket kapal terbang awal.
“Saya kalau boleh setiap tahun ingin ke persidangan UMNO, namun kadang kala faktor kesihatan dan kekurangan wang membataskan saya ke sini.
“Alhamdulilah, sejak tiga tahun lepas saya tidak pernah terlepas untuk ke perhimpunan ini. Kalau umur panjang tahun hadapan saya ingin ke sini lagi,” ujarnya.
Mengimbas perhimpunan dahulu, Sam Mohd Nor, 73, (gambar) berkata, persidangan dahulu diadakan dalam keadaan yang cukup sederhana.
“Ketika itu jumlah perwakilan tidak ramai seperti sekarang. Waktu itu perbahasan menjurus kepada isu-isu untuk memartabatkan kedudukan orang Melayu, agama, pelaksanaan bahasa dan pencapaian ekonomi serta pendidikan,” katanya. – Utusan
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW