KUALA LUMPUR – Kenyataan Presiden MCA, Liow Tiong Lai mahu meletakkan jawatan sekiranya Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 diluluskan di Parlimen tidak akan membantu parti Cina itu mahu pun Barisan Nasional (BN), kata Ketua Umno Bahagian Bukit Katil Mohd Ali Rustam.
Beliau berkata, kenyataan Liow berhubung perkara itu juga tidak akan mengembalikan sokongan masyarakat Cina kepada MCA sebaliknya hanya memakan diri sendiri apabila RUU itu diluluskan Parlimen kelak.
“Itu cakap politik tak bawa keuntungan kepada MCA dan BN. Baik dia bincang dengan Perdana Menteri Najib Razak.
“Esok lulus RUU itu orang tanya bila dia nak letak jawatan menteri. Komponen BN perlu berhati-hati,” katanya ketika ditemui Berita Daily di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bersempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2016, semalam.
Liow sebelum ini menegaskan RUU persendirian yang di bawa Presiden PAS Abdul Hadi Awang tidak harus diberikan sokongan dan beliau tidak sepatutnya membentangkan usul tersebut di Parlimen baru-baru ini.
Ali bagaimanapun berkata, tindakan ahli Parlimen Bentong itu hanya sekadar untuk menunjukkan kepada masyarakat Cina MCA lebih hebat daripada DAP.
“Ini MCA nak tunjuk teror (handal) daripada DAP. Tak untung untuk dia (MCA).
“Dia cakap macam itu pun undi Cina tidak bertambah pun dekat MCA. Baik dia tak payah cakap.
“Ini hal Islam, kita serah sahaja Islam selesaikan,” tegas bekas Ketua Menteri Melaka itu lagi.
Liow juga sebelum ini berkata sekiranya RUU itu diluluskan beliau akan melepaskan jawatan Menteri Pengangkutan yang disandangnya atas kapasiti Presiden MCA.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW