KUALA LUMPUR – Penyanyi, Hafiz Suip menyifatkan tanggapan berhubung kerjaya nyanyiannya yang semakin suram selepas mendirikan rumah tangga sebagai lumrah.
Hafiz atau pemilik nama penuh, Mohd Hafiz Suip, 26, berkata, pandangan orang ramai diterima secara terbuka malah pada masa sama berusaha memastikan kualiti persembahannya terus meningkat.
“Saya tidak menganggap isu nama semakin suram sebagai perkara besar kerana setiap penyanyi ada turun naiknya. Hidup ini ibarat roda, ada kala kita di atas dan ada ketika kita di bawah. Bagi saya, kesusahan itulah yang mengajar erti kehidupan.
“Namun saya pasti peminat bijak membezakan perihal peribadi dan kerjaya kerana ia adalah dua cabang yang berbeza. Apa pun, saya menyerahkan soal rezeki kepada Allah untuk menentukan segala-galanya,” katanya.
Hafiz yang lahir daripada program pertandingan realiti Akademi Fantasia (AF) mendirikan rumah tangga dengan Nureffy Jesreel Abdullah pada 14 Mei lalu di Kuching, Sarawak.
Sementara itu, Hafiz meletakkan harapan tinggi terhadap pencalonan lagu Terimaku Seadanya duet bersama penyanyi popular, Misha Omar yang layak ke Anugerah Juara Lagu 31 (AJL 31) pada 22 Januari tahun depan.
“Alhamdulillah, setakat ini saya dan Misha sudah memperincikan serba sedikit persiapan menjelang AJL 3. Kami mencapai kata sepakat ingin fokus kepada adunan suara bersama bagi memastikan ia sekata dan saling melengkapi.
“Malah, saya juga berharap supaya kami diberikan kesihatan yang baik untuk berentap di pusingan akhir AJL nanti. Apa yang penting adalah untuk memberikan persembahan terbaik buat peminat yang sentiasa menyokong kerjaya seni kami,” katanya.
Hafiz, antara penyanyi paling berjaya di pentas AJL, menyandang gelaran berkenaan ketika bertanding pada AJL 25, 26 dan 27.-BH
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW