Institusi penghulu diingatkan dengan realiti politik yang orang Melayu hanya memiliki dua pilihan dalam menentukan pentadbiran kerajaan di negara ini.
Datuk Seri Najib Razak berkata, orang Melayu kini perlu memilih kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO atau kerajaan yang akan ditunjangi DAP.
Perdana Menteri bagaimanapun menegaskan, kaum Melayu berada dalam bahaya jika memilih DAP yang memperjuangkan perlembagaan sekular.
“Jadi saya ingin ulang mesej semasa Persidangan Agung UMNO baru-baru ini bahawa realiti politik kita cuma ada dua pilihan sahaja iaitu kerajaan yang ditunjangi UMNO atau satu lagi puak yang ditunjangi DAP.
“Dalam perlembagaan parti DAP itu ada mengatakan yang mereka mahu kembali kepada perlembagaan sekular. Bahaya perlembagaan itu kerana sekular bermaksud apa? Sekular bermaksud bermaksud negara kita tidak boleh lagi meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Kedua pula dalam bajet alternatifnya, DAP mahu beri peluang yang sama rata kepada kaum. Ini bermaksud tidak ada lagi hak keistimewaan untuk Bumiputera dan agenda pemerkasaan kaum itu.
“Itulah realiti dan kalau tidak betul nafikan dan mereka tidak dinafikan pula. Tetapi ada pula bekas pemimpin yang hendak cuci bersih parti itu buat apa?,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Seminar Jati Diri dan Memperkasa Institusi Penghulu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Mengulas lanjut, Najib berkata, Institusi Penghulu perlu menjadi perantara suara hati rakyat kepada kerajaan supaya dasar yang dibuat oleh kerajaan boleh diolah dan ditambahbaik mengikut keperluan dan kehendak rakyat di peringkat akar umbi.
Beliau berkata, ini kerana pelaksanaan sering menjadi masalah biarpun dasar kerajaan sudah tepat dan kena pada asasnya.
“Memang kalau kita lihat institusi ini di dalam satu mukim yang dekat dengan rakyat dan akar umbi. Kalau saya sebut sebagai sebuah kerajaan yang mendengar, merasai denyut nadi rakyat, maka penghululah golongan yang boleh merasainya.
“Bila penghulu sudah tahu hasrat rakyat, kehendak dan keluhan rakyat, maka tolong sampaikan kepada pihak kerajaan. Kalau penghulu sudah tahu tapi buat tak tahu sahaja, maka sudah tentu kerajaan tidak mendapat gambaran yang jelas supaya kerajaan boleh olah,” kata Najib.
Menurut Najib yang juga Presiden UMNO, golongan penghulu atau ketua kampung perlu sedar akan kepentingan dan tanggungjawab mereka untuk menyuarakan hasrat rakyat selain menjadi banteng hadapan kepada kerajaan.
Dalam pada itu, Najib turut membuat pengumuman untuk menaja sepenuhnya penghulu yang belum menunaikan haji menerusi Yayasan 1MDB.-MalaysiaGazette
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW