loading...

Piala AFF: Kim Swee Lancar Misi Wajib Menang

SUKAN Mahu atau tidak skuad bola sepak kebangsaan perlu mencatat kemenangan pada aksi ketiga berdepan Myanmar untuk layak ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2016‎, Sabtu ini.

 

Susulan tewas 0-1 berdepan Vietnam pada saingan kedua kumpulan B semalam, jurulatih Datuk Ong Kim Swee bersiap sedia melancarkan misi wajib menang ke atas pasukan tuan rumah. ‎

 

Mengakui kecewa dengan kekalahan anak buahnya, Kim Swee menegaskan persembahan yang dipamerkan anak buahnya pada perlawanan itu adalah lebih baik berbanding ketika menentang Kemboja.

 

“Sudah pasti sedikit kecewa selepas tewas, tapi saya fikir kami bermain dengan baik. Apa yang penting ketika ini kami perlu fokus ke depan untuk berdepan Myanmar.

 

“Kami perlu menang dengan Myanmar dan itu pilihan yang kami ada untuk terus mara ke pusingan seterusnya (separuh akhir),” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.

 

Keputusan itu menyaksikan Harimau Malaysia kekal dengan tiga mata hasil kemenangan 3-2 ke atas Kemboja pada perlawanan pembukaan, Isnin lalu.

 

Jaringan tunggal penyerang Vietnam Nguyen Trong Hoang pada minit ke-79 melenyapkan harapan skuad negara sekurang-kurangnya untuk meraih satu mata.

 

‎Sementara itu, penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat menjelaskan peluang buat Harimau Malaysia mara ke separuh akhir masih terbuka luas.

 

Menurut pemain yang dikenali sebagai Apek itu, tiada sebarang tekanan buat barisan pemain Harimau Malaysia walaupun perlu menewaskan tuan rumah Myanmar pada perlawanan terakhir kumpulan untuk melangkah ke separuh akhir.‎

 

“Peluang sentiasa ada buat pasukan dan kami tiada tekanan untuk berdepan Myanmar. Apa yang penting adalah kami perlu bermain untuk menang pada perlawanan terakhir nanti,” kata penjaga gol dari Kelantan itu.‎‎

 
Selain tu, Apek berkata skuad negara dihukum dengan jaringan tunggal Vietnam selepas kesilapan pada minit akhir permainan.

 

“Kami beraksi dengan baik sepanjang permainan, cuma kesilapan pada minit-minit akhir itu menyebabkan vietnam menghukum kami,” katanya.-Malaysiakini



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...