BEIJING – “Dua ribu tahun dahulu, orang China datang ke Malaysia untuk meneruskan kehidupan, kini 2,000 tahun kemudian orang China patut mengunjungi Malaysia untuk berehat,” kata Pengasas Alibaba, Jack Ma yang melahirkan rasa cintanya kepada Malaysia.
Beliau yang baharu dilantik sebagai Penasihat Ekonomi Digital kepada Kerajaan Malaysia, menikmati percutian menarik dengan makanan yang lazat berkata, Malaysia mempunyai budaya dan tempat menarik untuk dikunjungi.
Turut melahirkan keterujaannya dengan tugas yang diberikan, beliau berkata, Malaysia akan melancarkan Zon Perdagangan Bebas Digital pada 2017 dengan bantuan beliau dan tahun-tahun akan datang, lapor Bernama.
Taikun internet yang sebelum itu melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau mengadakan perbincangan menarik dengan Najib “mengenai apa yang kami boleh lakukan bersama di Malaysia dan China.
Beliau yang berucap di pelancaran Pavilion Pelancongan Malaysia Alitrip yang dibangunkan bersama Alibaba turut menzahirkan penghargaan kepada bapa Najib, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein di atas keputusannya pada tahun 1972 untuk menjalin hubungan diplomatik dengan China dan kerana langkah itu “perkara yang menarik telah berlaku” dengan hubungan dagang yang luar biasa dan ikatan yang semakin rapat dan kukuh antara Malaysia dan China.
Ma berkata berdasarkan rangkaian sosial, rakyat Malaysia adalah peramah kerana purata rakyat Malaysia mempunyai 235 rakan di dalam rangkaian sosial, dan ini menunjukkan bagaimana rakyat Malaysia menilai persahabatan.
Justeru, beliau berkata terdapat keperluan bagi teknologi aplikasi dan interaktif yang baharu untuk golongan muda berhubung dan bersama membina tempat tinggal yang lebih aman.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW