KUALA LUMPUR – Bekas anggota exco Selangor, Ronnie Liu membeli tilam, bantal, selimut, tuala dan beberapa barangan buat Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah yang kini ditahan pihak berkuasa.
Memetik Malaysia Kini, Liu berkata, beliau membeli barangan itu semua bewarna kuning selepas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam membenarkan Maria meminta tilam dan barangan lain semasa berada dalam tahanan.
“Keadaan di sana (pusat tahanan polis), Jinjang dan tempat-tempat lain, adalah tidak memuaskan,” ujar Liu sambil menjelaskan sebab-musabab barangan dan kemudahan asas disediakan kepada Maria dan tahanan lain.
“Barangan asas sahaja, atau nanti orang tuduh beliau hidup seperti dalam bilik hotel,” tambah Liu.
Semalam, Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali menegur rungutan Maria berkaitan layanan ke atasnya dalam tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Kata Ibrahim, beliau yang pernah ditangkap bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum ini menerima cabaran lebih besar berbanding Maria.
Malah, pengerusi BERSIH itu harus menerima hakikat dan cabaran bagi perjuangannya.
“Dah tahu dah (keadaan dalam tahanan), lepas itu nak mengadu, nak tilam, tandas duduk, nak telur ayam kampung dua biji setiap pagi.
“Saya tak mengadu, nak jadi perjuang berani tanggunglah,” kata Ibrahim lagi.
Mengulas lanjut, Liu berkata, beliau akan membawa semua barangan tersebut ke Kem Batu, lokasi yang dipercayai menempatkan Maria pada masa ini, bersama-sama pimpinan BERSIH dan keluarga Maria.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW