loading...

Adun DAP Gesa Lim Guan Eng Bercuti Sehingga Selesai Kes Rasuah

GEORGE TOWN, 23 Nov ― Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada DAP semalam mempersoalkan tindakan kerajaan Pulau Pinang untuk terus mengekalkan Lim Guan Eng sebagai ketua menteri walaupun menghadapi pertuduhan rasuah.

 

Teh Yee Cheu (DAP-Tanjung Bungah) berkata tatakelola kerajaan negeri akan lebih berjaya sekiranya reformasi pengasingan kuasa dilakukan secepat mungkin  demi menjamin kepentingan awam.

 

“Sekarang ini, kita hadapi satu krisis di mana badan kehakiman kita sedang menjalankan siasatan terhadap kuasa eksekutif negeri.

 

“Justeru itu, adalah wajar bagi tatakelola negeri mengarahkan pihak berkenaan untuk bercuti sementara sehingga penghakiman dimuktamadkan.

 

“Mahu tidak mahu atau suka tidak suka, perkara yang sangat sensitif ini (pendirian kerajaan negeri yang mahu Lim terus menyandang jawatan Ketua Menteri) perlu dibangkitkan dalam Dewan ini bagi memastikan kewibawaannya terbela,” katanya ketika sesi perbahasan Bajet 2017 Pulau Pinang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, semalam.

 

Beliau berkata pendirian kerajaan negeri itu jelas bertentangan dengan slogan ‘Cekap, Akauntibiliti dan Telus’ (CAT) yang sering dilaungkannya.

 

Teh turut mendesak kerajaan negeri supaya lebih progresif untuk menangani krisis itu bagi memastikan amalan pengasingan kuasa dapat dikekalkan tanpa dipengaruhi kepentingan peribadi oleh mana-mana pihak.

 

Katanya jika diberi kuasa, beliau akan menggubal Perlembagaan negeri khususnya Artikel 7 dan 35 bagi mengehadkan jawatan ketua menteri  kepada dua penggal selain melarang penyandang jawatan itu memegang apa-apa portfolio yang boleh menjana keuntungan.

 

“Jika ia masih gagal dilaksana, kerajaan negeri seharusnya mengarahkan pemimpin terbabit (Lim) supaya tidak mempengerusikan mana-mana jawatankuasa hingga keputusan mahkamah dimuktamadkan,” katanya.

 

Sementara itu, Teh turut melahir perasaan sedih dengan Bajet 2017 Pulau Pinang yang dibentang Lim baru-baru ini yang dianggapnya sebagai tidak seimbang dan hanya cenderung kepada pembangunan berbanding masalah utama khususnya yang membabitkann isu alam sekitar.

 

“Sebahagian besar bajet itu tertumpu kepada pembangunan iaitu kepada Pejabat Ketua Menteri sahaja dan tiada langsung bajet untuk pemuliharaan alam  sekitar,” katanya.

 

Perkara itu, katanya, amat merunsingkan kerana tiada penjelasan nisbah pembahagian dana kepada Pejabat Ketua Menteri dan Setiausaha Kerajaan Negeri dalam Bajet itu.

 

Sidang DUN bersambung hari ini. ― Bernama



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...