BORDEAUX – Penalti terakhir yang disempurnakan Jonas Hector memastikan kemaraan Jerman ke peringkat separuh akhir Euro 2016 dengan menewaskan Itali 6-5 menerusi penentuan penalti mendebarkan, di sini, malam tadi.
Perlawanan terpaksa diheret ke penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 tamat 90 minit masa permainan dengan aksi di masa tambahan juga gagal menghasilkan sebarang gol.
Kemenangan Jerman ke atas Itali turut menamatkan badi juara dunia itu ke atas musuh tradisinya itu di pentas kejuaraan utama – Piala Dunia dan Euro sebelum ini.
Daripada lapan pertembungan di Piala Dunia dan Euro, Itali mencatat empat kemenangan dan seri empat kali termasuk ketika menyingkirkan Jerman pada edisi 2012 di peringkat separuh akhir.
Lawan Jerman di separuh akhir nanti sama ada Perancis atau Iceland.
Ketika permainan dijangka penuh menarik dan mendebarkan, kedua-dua pasukan begitupun tampil dengan corak permainan bertahan di awal permainan sehingga hanya satu cubaan tepat ke gawang dihasilkan pada babak pertama.
Permainan tambah menarik memasuki babak kedua namun jaringan hanya terhasil pada minit ke-65 menerusi jaringan menarik Mesut Ozil yang turut dibantu hantaran Hector.
Begitupun, kelebihan itu tidak lama apabila Itali menyamakan kedudukan pada minit ke-77 menerusi sepakan penalti selepas pertahanan Jerman, Jerome Boateng memegang bola di kawasan penalti.
Leonardo Bonucci tidak mensia-siakan peluang itu untuk menyamakan kedudukan buat Itali.
Sekali pun permainan tambah rancak selepas itu, kedua-dua pasukan buntu untuk menambah jaringan sehingga dibawa ke penentuan penalti yang dimenangi Jerman 6-5 dengan penjaring gol Jerman, Ozil turut gagal menyempurnakan sepakannya. – Agensi
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW