AMSTERDAM – Pasukan pendakwaan yang menjalankan siasatan jenayah terhadap nahas penerbangan MH17 di timur Ukraine dua tahun lalu menyatakan bahawa mereka kini berada pada tahap terakhir dan akan membentangkan rumusan selepas musim panas ini.
Dalam satu kenyataan, pihak pendakwa raya memberitahu, mereka juga telah membuat beberapa permintaan bagi bantuan perundangan daripada negara-negara terlibat.
Bagaimanapun, mereka masih menunggu maklumat daripada Rusia mengenai peluru berpandu Buk yang dipercayai menjatuhkan pesawat penerbangan Malaysia sehingga mengorbankan kesemua 298 orang penumpang dan anak kapal dalam kejadian pada 17 Julai 2014.
Mereka menyatakan, laporan akhir akan memperincikan jenis senjata yang digunakan dan lokasi tepat peluru berpandu itu dilancarkan.
Pesawat berkenaan terhempas di wilayah dikuasai kumpulan pemberontak yang menentang kerajaan Kiev dan disokong oleh Moscow.
Dua pertiga penumpang pesawat merupakan warga negara Belanda. Bencana itu mendorong sekatan negara Eropah dan Amerika Syarikat terhadap Rusia dan meningkatkan ketegangan antara dua kuasa dunia itu pada ke tahap tertinggi dalam dekad ini.
Kumpulan penyiasat daripada Belanda, Australia, Malaysia, Belgium dan Ukraine memberitahu, mereka akan membentangkan rumusan ke mahkamah atau tribunal jenayah.
Kerajaan negara terlibat berjanji akan membawa pesalah ke muka pengadilan dan jika perlu menubuhkan tribunal antarabangsa.
Rusia telah menggunakan kuasa veto Majlis Keselamatan untuk menghalang usul bagi menubuhkan sebuah tribunal di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk membicarakan kes itu. – Reuters