KUALA LUMPUR – Pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang disifatkan sebagai tidak Islam dan tidak adil.
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembentangan RUU itu.
“Saya masih kekal melihat RUU itu tidak Islam. Apa yang dibentangkan mereka adalah tidak Islam.
“Jika RUU itu Islamik, mereka tidak akan usulkan kerana Islam adalah adil. Dan mereka cuba untuk membuat sesuatu yang tidak adil.
“Potong tangan kepada orang Islam (atas kesalahan mencuri) dan beri hukuman penjara dua tahun pula kepada orang bukan Islam pada kesalahan yang sama. Ini tak adil,” katanya pada sidang media di Yayasan Al Bukhary Foundation, Taman Tasik Perdana hari ini.
Hadi pada sidang Dewan Rakyat lalu membentangkan RUU Ahli Persendirian mengenai hudud untuk meminda Akta 355 Perlembagaan Persekutuan di Parlimen.
Bagaimanapun, Hadi memohon pembentangan RUU itu ditangguhkan sehingga sidang Parlimen berikutnya pada Oktober untuk dibahaskan.
Sementara itu, Mahathir juga tidak menolak RUU itu dibenarkan untuk dibentangkan di Parlimen kerana UMNO mahu mendapatkan sokongan PAS.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pembentangan RUU itu satu helah daripada UMNO.
“Biasalah UMNO nak dapatkan sokongan daripada PAS, jadi mereka setuju dengan PAS. Ini kerana semasa saya menjadi perdana menteri, UMNO tak setuju,” katanya. – FMT