loading...

Bekam Bayi Bukan Sunnah Nabi – Mufti Perlis

SHAH ALAM — Amalan membekam bayi tidak pernah diajar dalam mana-mana kursus klinikal, sekali gus ia dianggap tidak sihat, songsang dan tidak boleh dijadikan rujukan.

 

Pensyarah perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) profesor Dr Ab Aziz Al-Safi Ismail berkata menggunakan pisau untuk membekam bayi juga sama sekali tidak dibenarkan.

 

“Begitu juga di Kelantan, ada individu guna gelaran doktor meniru kursus bekam klinikal.

 

“Dipercayai individu itu tidak pernah ikuti kursus Diploma Eksekutif Juru Bekam Klinikal (DEJBK) tetapi menawarkan kursus bekam dan tenaga pengajar yang berkelayakan,” katanya seperti dilapor Sinar Harian hari ini.

 

Akhbar itu pada 24 Mei lalu melaporkan seorang bapa di Melaka, yang mendakwa jurubekam terlatih, yang membekam bayinya yang demam menggunakan teknik sayatan sejak usia 25 hari.

 

Atas alasan mengikuti sunnah Rasulullah, lelaki itu berkata beliau tidak suka memberi suntikan vaksin pada anaknya, sebaliknya selesa melihat anak membesar dengan rawatan bekam.

 

Susulan berita itu, mufti Perlis dalam reaksinya di Facebook bagaimanapun mempertikai tindakan bapa tersebut, khususnya dikaitkan dengan hadis.

 

“Saya tidak pasti apakah berita itu tersalah lapor ataupun memang demikian yang berlaku.

 

“Apa yang saya amat bimbang jika ada pembaca yang kurang maklumat akan tersalah faham terhadap baginda nabi,” kata Datuk Mohd Asri Zainul Abidin minggu lepas.

 

“Mereka akan mempercayai kononnya, nabi menyuruh ibu bapa membekam bayi kecil walaupun tanpa sebarang sebab yang jelas.

 

“[Amalan] itu sama sekali tidak benar. Ia boleh menyebabkan salah faham terhadap sunnah nabi, kelihatan baginda kejam (bekam pada bayi) serta tidak saintifik.” – MalayMail

Previous
Next Post »
loading...