KUALA LUMPUR, 6 Okt — Ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi mencipta sejarah tersendiri apabila layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, selepas mencatat keputusan memberangsangkan pada Kejohanan Gimnastik Dunia 2019 di Stuttgart, Jerman.
Atlet berusia 25 tahun negara layak ke temasya terbesar dunia itu selepas mengumpul keseluruhan 49.898 mata pada pusingan kelayakan acara all-around individu, sekali gus menamatkan kemarau 16 tahun skuad gimnastik negara ke pentas Olimpik.
Biarpun sekadar menduduki tempat ke-59 serta gagal layak ke pusingan akhir kejohanan dunia, namun kejayaan lebih manis berjaya dicipta apabila Farah Ann menjadi gimnas ketiga negara layak ke temasya Olimpik selepas kali terakhir pada 2004 di Athens.
Turut beraksi pada kejohanan itu Tan Ing Yueh yang menduduki tempat ke-90 dengan mengumpul 48.299 mata sementara Tracie Ang di kedudukan ke-107 dengan 47.399 mata.
Berdasarkan senarai terkini Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG), Farah Ann adalah antara 20 gimnas yang layak ke Tokyo dalam acara all-around individu di kejohanan dunia edisi tahun ini.
Kejohanan Gimnastik Dunia edisi 2018 menjadi pentas pertama para gimnas meraih slot ke Sukan Olimpik 2020 dengan tiga negara yang berakhir di podium dianugerahkan masing-masing empat tiket secara merit ke temasya itu.
Kali terakhir gimnas negara beraksi di temasya Olimpik adalah menerusi gimnas lelaki Ng Shu Wai di Athens 2004 manakala gimnas wanita pula menerusi Alexina Au Li Yen di Sydney 2000.
— BERNAMA
Please follow and like us: