PENYERANG Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Md Rozaimi Abd Rahman mengakui bukan mudah untuk membuktikan kembali keupayaannya beraksi dalam kesebelasan utama selepas bergelut dengan kecederaan akibat kemalangan empat tahun lalu.
Bekas pemain Sabah ini terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan kepercayaan beraksi dalam skuad utama musim ini termasuk diturunkan dalam perlawanan penting aksi separuh akhir Challenge Cup dan terbaru, final pertama di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Jumaat lalu.
Namun pemain yang pernah disenaraikan dalam 10 pemain terbaik Asia pada tahun 2012 ini masih belum berpuas hati dengan prestasinya sambil menyifatkan dirinya sedang berusaha untuk mendapatkan kembali momentum di atas padang.
Bahkan ketua jurulatih, Ervin Boban juga tidak menolak Rozaimi sedikit sebanyak masih lagi terkesan dengan kecederaan ketika menilai aksinya berdepan UKM FC tempoh hari.
“Selepas kemalangan pada tahun 2015, memang saya makan masa untuk betul-betul sembuh dan bukan mudah untuk kembali cergas seperti sebelum ini.
“Apabila dapat peluang beraksi dalam kesebelasan utama, saya akan buktikan sedaya upaya kemampuan yang ada tetapi semua itu bukan senang kerana perlu bersaing juga dengan pemain lain.
“Memang saya tidak berpuas hati lagi dan masih banyak kerja rumah yang perlu dibuat untuk mendapatkan momentum itu dan saya tidak boleh selesa dengan prestasi sekarang ini,” jelasnya.
Pemain berusi 27 tahun ini berjaya menjaringkan enam gol di saingan Liga Premier 2019 dan dua gol dalam aksi Challenge Cup musim ini.
Namun, tugas berat masih menanti dirinya dan rakan sepasukan apabila bakal membuat perhitungan di final kedua menentang UKM FC pada Sabtu ini bagi merebut trofi Challenge Cup 2019.
Kemenangan 1-0 yang diraih dalam final pertama tempoh hari masih belum menjamin laluan mudah buat JDT II dan mereka harus mempamerkan aksi lebih aggresif pada pertembungan kedua.
“Bagi saya, keputusan 1-0 itu belum lagi selamat kerana aksi timbal balik nanti sukar untuk dijangka dan UKM FC juga beraksi tidak kurang hebatnya pada minggu lalu.
“Saya sendiri pun masih banyak lagi kekurangan di atas padang dan perlu memperbaiki apa jua kelemahan yang ada untuk kami meletakkan jurang lebih besar.
“Dalam final pertama tempoh hari, kami banyak kehilangan bola dan akhirnya hanya berupaya memperoleh satu gol sahaja sebagai bekalan,” katanya.
Sumber:-MStar
Ligakampung.com pernah menulis mengenai Rozaimi ni sedikit masa dahulu. Kemampuan beliau beraksi pada masa dahulu membayangkan Malaysia mempunyai seorang penyerang berkaliber suatu hari nanti.
Tapi sayangnya beliau mengalami kemalangan ngeri yang sedikit sebanyak merencatkan pembangunan beliau dalam bolasepak. Walaubagaimanapun belum terlambat untuk beliau menyarung kembali jersi negara dalam tempoh beberapa tahun ini.
Beliau telah berusia 27 tahun tapi berdasarkan statistik jaringannya ketika beraksi dengan JDT II ini mungkin peluangnya untuk mengembalikan prestasi terbaik.
Please follow and like us: