Bila ada anak kecil, rata-rata ibu bapa akan alami perkara sama iaitu anak kencing atas tilam semasa tidur atau pun yang sedang dalam proses potty training mesti sekali sekala akan ada situasi tak sempat ke tandas.
Dalam hal ini, ibu bapa wajib tahu cara membersihkan dan menyucikan sisa najis anak supaya ia bukan sekadar bersih di mata kasar sahaja. Tetapi apa yang penting cara membersihkan dan menyucikan kena betul mengikut ajaran Islam supaya solat kita juga sah.
Perkongsian daripada seorang ibu, Puan Yatie Eimra bermanfaat kepada semua ibu bapa lain.
Membersih & Menyucikan Najis Anak
Dalam pada para ibu teruja nak ajar anak potty train, jangan sehingga terlepas pandang bab menyucikan najis (air kencing/poo²) anak. Biasalah kes-kes ‘incident’ kecil masa potty train pasti anak ada terlepas dan terbabas di mana-mana. Itu tak termasuk kes diaper bocor atas tilam/karpet/sofa atau anak kencing malam.
Sebelum ini saya pernah kongsikan cara buat spray serbaguna menggunakan sabun dan larutan cuka. Spray ini juga sangat berkesan untuk hilangkan bau hancing (boleh rujuk post saya sebelum ni untuk sukatan). Alhamdulillah, lepas kering memang dah tak ada bau lagi.
Najis anak dikira najis mutawassitah iaitu najis pertengahan (kecuali air kencing anak lelaki bawah 2 tahun yang belum makan dan hanya minum susu ibu sahaja). Najis mutawassitah pula terbahagi kepada 2 iaitu yang boleh nampak (ainiah) dan tak boleh nampak (hukmiah). Cara membersih dan menyucikan najis berbeza bergantung pada kategorinya.
Baru-baru ini saya dengar ceramah seorang ustazah mengenai penyucian najis anak. Alhamdulillah, cara ini juga yang saya gunakan selama ni. Saya kongsikan cara menyucikan najis ini terutamanya bagi ibu-ibu baru yang mungkin tak banyak pengalaman. Semoga dapat dimanfaatkan.
Cara sucikan najis yang boleh nampak (ainiah)
Najis yang sedikit (percikan/tompokan najis dan air kencing yang sedikit)
1. Buang najis.
2. Bersihkan hingga hilang warna, rasa dan baunya. (boleh gunakan sabun+larutan cuka)
3. Tuangkan air ke atas tempat terkena najis sehingga rata.
Disunatkan:
4. Perah/keringkan air (lekapkan kain di atasnya atau gunakan vacuum jenis wet & dry).
5. Ulang basuh dan keringkan (dengan kain berbeza/bahagian lain yang kering) sebanyak 3 kali.
Najis yang banyak dan tempat terkena najis boleh diangkat
1. Buang najis.
2. Bersihkan hingga hilang warna, rasa dan baunya. (boleh gunakan sabun+larutan cuka)
3. Basuh dengan mengalirkan/menjirus air hingga sebahagian air mengalir, menitis/menitik.
Disunatkan:
4. Membasuh dengan air sebanyak 3 kali.
Najis yang banyak dan tempat terkena najis tidak boleh/sukar diangkat (contohnya seperti karpet yg mempunyai barang berat diatasnya, dan lain-lain)
1. Buang najis.
2. Bersihkan hingga hilang warna, rasa dan baunya. (boleh gunakan sabun+larutan cuka)
3. Tuangkan air ke atas tempat terkena najis sehingga rata.
Disunatkan:
4. Perah/keringkan air (lekapkan kain di atasnya atau gunakan vacuum jenis wet & dry).
5. Ulang basuh & keringkan (dengan kain berbeza/bahagian lain yang kering) sebanyak 3 kali.
Cara sucikan najis yang tak boleh nampak (hukmiah)
Najis yang diyakini kewujudannya tetapi tak boleh nampak sifatnya tetap dikira najis secara hukum. Contohnya air kencing yang telah kering, najis yang terkena lantai namun tidak melekat (boleh jadi sebab najis keras/permukaan licin) ataupun tempat yang terkena najis telah hilang sifatnya (warna, rasa & bau) disebabkan terlalu lama terbiar. Jika tersentuh tempat terkena najis hukmiah ini ketika tangan basah boleh membatalkan solat. Untuk menyucikan najis hukmiah, memadai hanya dengan
1. Menjiruskan air di tempat diyakini ada najis & kawasan sekitarnya.
Disunatkan:
2. Membasuh dengan air sebanyak 3 kali.
Ini pula menurut Ustaz Azhar Idrus-
*Jika selepas kering masih ada bau – dimaafkan dalam Islam kerana hanya tinggal 1 sifat (bau sahaja)
*Tempat terkena najis yang telah dicuci masih dikira najis ketika basah & boleh membatalkan solat.
*Tempat terkena najis yang telah dicuci & kering, jika dipegang/disentuh walaupun ketika tangan/kaki basah adalah dimaafkan.
Sumber: Yatie Eimra