9 bulan mengandung kemudian melahirkan, bila tengok sahaja muka baby, hilang semua rasa penat lelah membawa perut dan sakit ketika bersalin. Pastinya setiap ibu ingin melihat bayi yang baru dilahirkan sihat dan seterusnya membesar dengan baik.
Namun setiap apa yang berlaku tentu ada hikmahnya. Siapalah kita untuk mempersoalkan ketentuan Allah, pasti ada hikmah disebaliknya untuk setiap apa yang berlaku.
Ketika bayi sesusianya menjalani hidup normal, Nur Qhaira Sofea Mohammad Saufi disahkan menghidap Biliary Atresia atau penyakit hati kronik disebabkan masalah saluran hempedu tersumbat.
Menurut laporan sebuah akhbar, Ibunya, Nor Farhana Abdul Rahim, 31, berkata, anak bongsu berusia dua bulan 17 hari itu baru sahaja disahkan doktor menghidap penyakit berkenaan minggu lalu.
Menurutnya, doktor mengesyorkan Nur Qhaira Sofea atau dipanggil Sofea menjalani pembedahan segera sebelum usianya mencecah tiga bulan yang berbaki 13 hari lagi.
Kos Pembedahan Dibiaya Hospital, Tapi Perlu Bersedia Untuk Caj Lain
Menurut Nor Farhana, kos pembedahan akan dibiayai hospital namun dia dan suami, Mohamad Saufi Abu Bakar, 26, runsing memikirkan cara untuk mendapatkan wang bagi menjelaskan caj lain yang perlu ditanggung sendiri.
“Sofea dilahirkan normal tetapi saya mula mengesyaki sesuatu selepas melihat demam kuningnya tidak surut selepas dua minggu sedangkan ia sepatutnya berakhir pada hari ke-10.
“Disebabkan itu, saya dan suami kerap berulang alik ke hospital untuk membawa Sofea menjalani pemeriksaan dan keputusan ujian darah pada 30 September lalu mengesahkan anak saya menghidap penyakit berkenaan.
“Ibu mana tak sedih dan jujurnya, sukar untuk saya menerima hakikat itu pada mulanya namun doktor meyakinkan saya Sofea ada peluang untuk sembuh jika menjalani pembedahan bagi membuang hempedu dalam tempoh terdekat.
“Saya tidak khuatir memikirkan kos pembedahan tetapi buntu memikirkan cara mendapatkan wang untuk lain-lain bayaran kerana tidak bekerja manakala suami hanya bergantung dengan pendapatan sebagai penoreh getah bagi menyara kami sekeluarga termasuk dua anak lain,” katanya ketika dihubungi.
Mata dan Badan Sofea Masih Kuning, Perut Membesar
Berkongsi perkembangan terkini anaknya, Nor Farhana berkata, buat masa ini, Sofea berada di rumah dan tiada masalah untuk minum susu seperti biasa.
Malah Nor Farhana berkata, anaknya itu juga mudah diuruskan kerana tidak banyak meragam dan senang tidur pada waktu malam.
“Cuma mata dan badannya masih kuning manakala perutnya sedikit membesar kesan penyakit itu, jadi kami tiada pilihan kecuali mengikut nasihat doktor termasuk meneruskan pembedahan.
“Ahad ini, saya dan suami akan membawa Sofea menjalani ujian imbasan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
“Jadi ada kemungkinan doktor memberikan tarikh pembedahan pada hari sama,” katanya yang kini menetap di Felda Lawin Utara, Gerik, Perak.
Nor Farhana berkata, selain sumbangan, dia dan suami turut berharap rakyat Malaysia mendoakan supaya anaknya kembali sihat.
“Alhamdulillah, ada beberapa individu memberi sumbangan secara terus kepada saya dan suami selain menyalurkannya ke akaun bank kami ketika bertemu di hospital.
“Terharu kerana mereka sudi meringankan beban walaupun tidak mengenali saya dan suami dengan rapat.
“Hanya Allah SWT saja dapat membalasnya dan ketika ini, tiada apa yang saya harapkan kecuali melihat Sofea sembuh,” katanya.
Orang ramai yang berhasrat membantu keluarga ini boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Maybank bernombor 158136731651 atas nama Nor Farhana Abdul Rahim.
Sumber: Hmetro