KUALA LUMPUR – Jika selama ini anda hanya berbasikal di padang, jalan raya, trek basikal dan jelajah basikal meredah hutan serta sungai, kali ini anda diberi peluang untuk mencuba di tempat baharu.
Pengalaman itu boleh ditimba menerusi Cabaran Mara Digital Downmall 2016 yang memberi peluang kepada peserta berlumba basikal dalam premis kompleks beli-belah. Sukan lasak ini bagaimanapun sudah lama bertapak di Eropah dan di negara jiran seperti Indonesia.
Menurut Pengarah Super Xtream Sdn Bhd, Ashraf Khan acara basikal lasak yang bakal diadakan pada 10 & 11 Disember 2016 ini akan memaparkan kelainan berbanding acara basikal lasak yang lain memandangkan ia diadakan di dalam pusat membeli belah yang sedang beroperasi.
“Pertandingan ini bakal menyaksikan para peserta berbasikal menuruni beberapa tingkat dan halangan yang telah direka oleh penganjur malah kedai-kedai yang ada di dalam pusat membeli belah juga tidak ditutup bagi membolehkan orang ramai boleh melihat aksi para peserta dari jarak dekat,” katanya.
Beliau berkata demikian ditemui semasa satu sidang media berkenaan pertandingan ini pada Rabu.
Menurutnya lagi, dua kategori akan di pertandingkan di dalam acara pada kali ini yang mana kategori pertama adalah bagi remaja dari 8 tahun ke 17 tahun makala kategori seterusnya adalah melibatkan orang dewasa yang berumur 18 tahun ke atas.
“Kami menawarkan 13 hadiah iaitu 10 hadiah untuk kategori dewasa dan 3 hadiah untuk kategori remaja dengan menetapkan konteks ujian masa terpantas sebagai format pertandingan,” ujar beliau.
Pertandingan di MARA Digital Kuala Lumpur ini akan menjadi penanda aras kepada acara-acara seterusnya yang akan diadakan di sekitar Lembah Klang pada masa akan datang. – SuaraTV
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW