KUALA LUMPUR – Presiden Pertubuhan Pembela Nasib Melayu Malaysia, Mohd Ali Baharom atau Ali Tinju menggesa DAP dan pembangkang supaya berhenti menyerang kerajaan.
Beliau berkata, DAP dan parti pembangkang tidak perlu menghentam kerajaan jika mereka juga tidak dapat menutup kelemahan pentadbiran Kerajaan Pulau Pinang.
“Saya minta, tidak perlulah DAP dan parti pembangkang nak buat himpunan sana sini, bertumbuk dan (buat onar) mengkritik kerajaan.
“Berhentilah mengkritik kerajaan. Saya lihat DAP sendiri pun tak dapat nak selesaikan masalah di Pulau Pinang, jalan pun berlubang sana sini, PKR pula dengan masalah airnya di Selangor.
“Jadi tak perlulah nak menuding jari kepada kerajaan. Bagi saya, apa yang telah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak buat adalah yang terbaik untuk negara ini. Umno sudah banyak membantu negara ini bukan untuk memecahbelahkan tetapi untuk memperkasakan ekonomi negara,”katanya ketika di temui di luar perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ali Tinju berkata, dia teruja apabila sebanyak 15,000 teh tarik dan roti canai percuma diberikan kepada orang ramai sejak tiga hari lalu mendapat sambutan yang menggalakkan.
Beliau berkata, selepas gerai teh tarik dan roti canai percuma (lori bergerak)nya terpaksa ditarik penguasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Rabu lalu, Ali Tinju memohon kepada Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adenan Tengku Mansor supaya membenarkannya membuka gerai di situ.
“Terima kasih kepada Tengku Adnan kerana berikan saya peluang untuk melakukan kerja amal. Saya sangat gembira,”katanya.
Sementara itu, Ali Tinju turut menyindir pembangkang sekali gus menasihatkan mereka supaya melakukan kerja amal sepertinya.
Katanya, perhimpunan haram yang dianjurkan pembangkang tidak memberikan sebarang faedah dan menyeru supaya pembangkang melakukan kerja amal yang dapat menggembirakan hati semua orang.-SuaraTV
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW