loading...

Semai Semangat Ukhuwah, Suburkan Nilai Murni – PM

PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat khususnya umat Islam menyuburkan nilai dan semangat ukhuwah dalam diri masing-masing tanpa mengenal keturunan dan warna kulit.

 

Nilai murni itu menurut Perdana Menteri, adalah sejajar dengan pendekatan yang diambil oleh Rasulullah SAW sewaktu membangunkan kota Madinah dengan mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar serta kabilah lain.

 

Katanya, semangat itu telah menyuburkan nilai ukhuwah sesama mereka.

 

“Kaedah yang sama juga akan menjadi asas kepada penyatuan ummah di negara kita yang tercinta ini, ke arah menuju negara maju dan bertamadun serta mendapat keampunan Allah.

 

“Justeru saya mengajak semua umat Islam agar menjadikan Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1438H/2016M di Masjid Putra di sini semalam.

 

Majlis sambutan tahun ini yang bertemakan Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah itu dihadiri kira-kira 3,000 orang termasuk 61 kontinjen yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi pengajian tinggi (IPT).

 

Najib berkata, umat Islam di negara ini juga amat bertuah dan seharusnya bersyukur kerana negara berada dalam keadaan aman dan damai serta bebas mengamalkan ajaran Islam pada bila-bila masa dan di mana jua.

 

Menurut Perdana Menteri, nikmat yang paling besar ialah nikmat Islam dan iman yang di­sampaikan oleh Nabi Muhammad sebagai penyampai risalah agung dan baginda sendiri sudah melalui pelbagai cabaran dan dugaan untuk memastikan risalah Islam sampai kepada umat seterusnya.

 

“Marilah kita sama-sama berusaha dan mengamalkan apa yang disampaikan baginda Rasulullah dengan sebaik mungkin, jadikan baginda contoh dan te­ladan kita sepanjang masa.

 

“Sesungguhnya kita umat manusia ini diciptakan Allah dalam keadaan yang tidak mengerti apa pun melainkan dengan ilmu dan pembelajaran,” katanya. – UTUSAN



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...