loading...

Saya Belum Berniqab – Tasha Manshahar

KUALA LUMPUR : Sering mengaburkan sebahagian wajah pada gambar yang dimuat naik di laman sosial membuatkan ramai tertanya-tanya sama ada penyanyi, Tasha Mashahar sudah nekad mengenakan purdah.

 

Pemilik nama sebenar Nur Nadia Natasha Mohd Manshahar, 23, itu menjelaskan, beliau belum berniqab sebaliknya langkah itu diambil bagi mengelakkan niat jahat sejajar statusnya sebagai anak seni.

 

“Saya belum berpurdah kerana pada saya ia bukan sekadar kain tetapi dipakai beserta tanggungjawab besar terhadap Tuhan dan diri sendiri. Berpurdah juga bukan untuk kelihatan alim sebaliknya perlu seiring dengan peribadi diri.

 

“Malah, ada juga yang berpurdah bukan sebab dia rasa sudah alim, tetapi sebagai langkah untuk mengawal diri daripada melakukan perbuatan yang tidak baik dan lebih tawaduk dalam kehidupan seharian.

 

“Buat masa ini saya belum berniqab kerana rasa diri belum layak dan banyak yang perlu diperbetulkan. Saya masih dalam proses untuk memperkukuhkan yang asas dahulu. Sengaja wajah dikaburkan pada sesetengah bahagian bagi mengelak niat jahat orang. Saya bimbang ada menyalah gunakan wajah untuk dijadikan fitnah dan sebagainya,” katanya kepada BH Online.

 

Tasha yang berkhidmat sebagai guru di Melaka menegaskan, tindakan itu diambil rentetan pelbagai anasir negatif yang melanda industri hiburan tempatan. Malah, beliau kini lebih berhati-hati sebelum memuat naik gambar.

 

Pada masa sama beliau berkata, kerjaya sebagai penyanyi tetap mempunyai tempat istimewa di hatinya, malah sentiasa berusaha menguruskan jadual dan membahagikan masa dengan baik.

 

“Secara jujur kini saya banyak menolak undangan kerana memberi keutamaan kepada tanggungjawab sebagai guru di sekolah. Biarpun mempunyai minat dalam bidang nyanyian, namun saya kurang dapat menghadiri acara dan majlis kerana komitmen mengajar.

 

“Saya sudah mula mengurangkan pembabitan dalam bidang nyanyian kerana fokus kepada bidang perguruan dan mempunyai hasrat untuk sambung belajar serta menceburi bidang perniagaan. Lagipun, bakat baharu lebih berbakat ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.

 

“Lumrah kehidupan ada naik turun, saya rasa perlu bijak mengatur strategi untuk masa hadapan terutama bagi kaum wanita. Selain itu, kita perlu bijak mencorak kehidupan demi mencapai kebahagiaan dan kegembiraan,” katanya.-Bharian



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...