KUALA LUMPUR – Warga Lembah Klang terutama di ibu kota akan mempunyai lebih banyak pilihan pengangkutan awam apabila projek Mass Rapid Transit (MRT) Fasa 1 laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) mula beroperasi Jumaat ini.
Meskipun projek fasa satu itu hanya melibatkan 12 stesen dari Sungai Buloh ke Semantan di Damansara, ramai warga kota begitu teruja menanti kehadiran perkhidmatan tren terbaru itu, terutama pengguna tetap pengangkutan awam.
Rata-ratanya berpendapat perkhidmatan MRT memberikan satu lagi alternatif atau pilihan baharu pengangkutan awam sebagai tambahan kepada LRT, Komuter, Monorail dan bas.
Ini akan menjimatkan masa perjalanan mereka ke destinasi.
Pereka Grafik, Arief Irsyad Mohd Yusoff, 27, berkata, pembukaan MRT Sungai Buloh ke Semantan menambah lagi satu kemudahan pengangkutan kepada golongan pekerja, terutama yang bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan awam.
“Ia memudahkan perjalanan saya untuk ke lokasi-lokasi seperti Damansara dan Bandar Utama yang tidak mempunyai pengangkutan awam.
“Ini dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas terutamanya di kawasan-kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk,” katanya kepada Bernama. – Bernama
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW