LOS ANGELES – Perang mulut mula tercetus antara Brad Pitt dan Angelina Jolie dengan aktor itu menuduh bekas isterinya menjejaskan privasi kehidupan anak mereka.
Berikutan itu, Pitt meminta hakim merahsiakan maklumat anak pasangan berkenaan daripada dihebahkan berikutan perceraian mereka, menurut dokumen mahkamah.
Peguam bintang berusia 52 tahun itu mendakwa Jolie tidak memberi perhatian kepada kebajikan enam anak mereka, ketika peguam aktres itu cuma membuatkan beliau kelihatan teruk, menurut usul yang difailkan di mahkamah Los Angeles.
Pasukan peguam Pitt berkata, Jolie melanggar perjanjian melindungi kehidupan peribadi anak mereka yang berusia lapan hingga 15 tahun, dengan mendedahkan nama pakar terapi keluarga mereka.
Peguam menuduh Jolie, 41, cuba mencari jalan mendedahkan semua dakwaan kepada umum tanpa memikirkan impak kepada anak. Jolie memfailkan perceraian pada September atas alasan tidak bersefahaman, dan memohon hak penjagaan tunggal anak mereka.
Pitt didapati tidak bersalah oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan pekerja sosial berhubung dakwaan beliau memukul salah seorang anaknya dalam penerbangan dari Perancis ke Los Angeles pada September.
Pitt, yang menang Oscar filem terbaik kerana menerbitkan ‘!2 Years of Slave’ pada 2013, memfailkan hak penjagaan bersama. Beliau diberikan hak lawatan yang dipantau pakar terapi sebagai sebahagian perjanjian hak penjagaan bersama.
Menurut perjanjian itu, Jolie memperoleh hak penjagaan fizikal di rumah yang disewa di Los Angeles. Pasangan yang diberi gelaran Brangelina itu berkahwin di Perancis pada Ogos 2014 tetapi sudah menjalin hubungan sejak 2004. – AFP/BH
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW