PASIR MAS ― Setiap kali menjelang musim tengkujuh, ikan “darat” menjadi buruan penggemarnya, sekali gus menjana pendapatan lumayan kepada penjual ikan berkenaan.
Harga ikan air tawar berkenaan seperti haruan, puyu, toman galang, keli dan baung mampu memcecah sehingga RM70 sekilogram berikutan permintaan yang tinggi.
Tinjauan Bernama di sepanjang jalan Pasir Mas-Rantau Panjang di sini, mendapati puluhan gerai didirikan oleh penduduk untuk menjual ikan itu.
Seorang penjual Mohd Hisham Muhammad Zain, 29, berkata beliau menjalankan perniagaan sampingan itu setiap kali menjelang musim tengkujuh sejak 2012.
“Sepanjang musim ini, saya mampu meraih pendapatan sehingga RM2,000 sehari,” katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Lubok Jong di sini semalam.
Mohd Hisham berkata beliau mendapatkan bekalan ikan darat daripada penduduk sekitar yang menangkapnya di tali air, sawah dan kawasan berpaya yang banyak terdapat di jajahan itu.
Seorang lagi penjual ikan Hussien Daud, 55, berkata perniagaan sampingan itu membantu beliau menambah pendapatan bagi menyara anggota keluarganya.
Beliau berkata ikan darat yang mendapat sambutan hangat ialah ikan haruan kerana dijadikan ubat tradisional kepada ibu berpantang yang baharu melahirkan bayi serta kanak-kanak selepas berkhatan.
“Saya bekerja sebagai buruh binaan, namun setiap kali musim tengkujuh saya akan ke sungai, tali air dan sawah untuk menangkap ikan darat untuk dijual,” katanya. ― Bernama
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW