MENTERI Besar, Datuk Ahmad Yakob tidak bersedia mengambil alih jawatan Presiden Kafa walau pun banyak pihak menggesa beliau memegang jawatan itu.
Ahmad berkata, banyak perkara perlu dibuat penelitian sebelum sebarang keputusan dibuat terutamanya mengenai isu dana RM15 Juta itu.
“Kerajaan negeri serahkan kepada Exco Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO untuk membuat penelitian tersebut.
“Perlu penjelasan cukup kenapa liabiliti terlampau tinggi dan bagi saya walau pun kerajaan negeri tidak ambil alih, penjelasan itu perlu untuk penaja nanti.
“Mana-mana individu yang mahu menjadi penaja pasukan bola sepak Kelantan ini kita sokong,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Input Pertanian dan Perikanan Dun Pasir Pekan, di Bangunan Ibaidulrahman kampung Paloh Tumpat, petang, semalam.
Jelas Ahmad lagi, dengan penolakan jawatan Presiden Kafa itu tidak bererti kerajaan negeri tidak membantu bola sepak Kelantan.
“Sebelum ini pun kerajaan negeri potong levi, dan baru-baru ini potong lagi 10 peratus levi, kita juga tidak kenakan langsung cukai hiburan.
“Manakala pemain bola sepak Kelantan juga dirai setiap kali menang perlawanan dengan membawa menunaikan umrah dan lain-lain sumbangan,” katanya.
Terdahulu, Tan Sri Annuar Musa (bekas Presiden Kafa), melepaskan jawatan berkenaan pada 9 November lalu selepas menyandang sejak 2008.
Di bawah pentadbirannya, pasukan Kelantan pernah meraih kejuaraan Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Super.
Untuk terus beraksi, Kelantan memerlukan sekurang-kurangnya RM15 bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga-M) 2017.-Sinar
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW