SHAH ALAM ― Kejayaan luar biasa Ku Rela Dibenci bukan sahaja memberi kesan mendalam kepada peminat malah membawa kenangan tersendiri kepada penyanyinya, Aiman Tino.
Aiman, nama popular Mohammad Aiman Yusri berkata lagu yang mengangkat namanya ke arena seni suara tanah air itu memberi pengertian mendalam walaupun lagu kedua Permata Cinta kini kerap bermain di corong radio.
“Ku Rela Dibenci masih lagi ada aura sebab Aiman terlalu menjiwai lagu ini.
“Bahaya bagi Aiman kerana di atas pentas jika terlalu menjiwai, Aiman akan sukar untuk menyanyi dan akan menangis,” katanya kepada ProjekMMO.
Lagu ciptaan ibu dan ayahnya itu mengangkat Aiman ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) bulan depan bersama 11 lagu lain.
Video muzik lagu itu yang dimuat naik di YouTube sejak pertengahan tahun ini ditonton lebih 24 juta kali dan turut berada dalam carta lagu Melayu radio tempatan.
Penyanyi kelahiran Kuala Kubu Bharu ini juga diminta mengubah lirik lagu berkenaan untuk dipertandingkan di AJL kerana membawa mesej kematian.
“Cerita itu hanyalah ilham mak. Tak ada cerita sebenar pun. Ia mengisahkan pasangan kekasih dan lelaki itu sakit.
“Wanita itu pula berpaling maka lelaki itu berasa biar dia sakit dan mati sendiri.
“Sebenarnya lelaki itu tidak mati walaupun nampak batuk berdarah dalam klip video,” katanya.
Diminta mengulas penyanyi Sufian Suhaimi yang mendakwa dirinya pencabar terdekat dalam AJL bulan depan, Aiman pantas menafikannya.
Katanya, Sufian terlebih dahulu berada dalam industri dan menjadi idolanya sebelum bergelar penyanyi.
“Kami ini sama-sama naik tetapi dia [Sufian] idola saya. Sebelum saya naik lagi, saya sudah layan lagu dia.
“Bila kami di bawah satu syarikat rakaman, saya memang hormatinya.
“Semua finalis beri saingan sebab juri adalah profesional. Mereka memilih dengan sangat teliti,” katanya merendah diri. – MalayMail
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW