loading...

Tolak Vaksin Punca Kes Demam Campak Di Selangor Meningkat

CYBERJAYA – Kes demam campak di Selangor bagi suku pertama tahun ini mencatatkan peningkatan susulan tindakan ibu bapa menolak suntikan vaksin dan imunisasi untuk anak mereka, kata Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr. Zailan Adnan.

 

Beliau berkata, sebanyak 403 kes demam campak dilaporkan di negeri itu pada suku pertama tahun ini berbanding hanya 23 kes pada 2014 dan 498 kes tahun lalu.

 

“Keengganan golongan berkenaan (ibu bapa mendapatkan suntikan vaksin dan imunisasi bagi anak mereka) dilihat menyumbang kepada peningkatan kes measles (demam campak) di negeri ini,” katanya dalam sidang media selepas menyertai forum terbuka bertajuk “Adakah Suntikan Vaksin Selamat?” di Cyberjaya University College of Medical Sciences, di sini hari ini.

 

Beliau berkata, lebih 500 kes penolakan suntikan vaksin dan imunisasi dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh Januari hingga Mac tahun ini.

 

Jumlah itu agak membimbangkan apabila menunjukkan trend peningkatan mendadak berbanding hanya 637 kes penolakan suntikan dilaporkan pada 2013, 918 kes pada 2014 dan 1,541 kes sepanjang tahun lalu, katanya.

 

“Di Selangor sendiri dalam suku pertama tahun ini sahaja sebanyak 29 keluarga menolak untuk anak mereka diberikan suntikan vaksin dengan pelbagai alasan seperti merasakan suntikan berkenaan mempunyai kesan sampingan,” katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Penguatkuasa Farmasi, Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Tan Ann Ling berkata, kepercayaan sesetengah pihak bahawa suntikan vaksin dan imunisasi membawa kesan sampingan teruk adalah tidak tepat kerana statistik menunjukkan sebaliknya.

 

Beliau berkata, sebagai contoh daripada 10,000 proses pemberian suntikan itu, sebanyak 98 peratus daripada penerima tidak mengalami sebarang kesan sampingan atau dikenali sebagai Adverse Events Following Immunization (AEFI) malah hanya mengalami alahan ringan seperti demam, pening kepala atau ruam di kawasan suntikan. – BERNAMA



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...