PUTRAJAYA — Nombor pendaftaran baharu kenderaan untuk Putrajaya, F1, tidak dijual melebihi RM1 juta seperti jangkaan awal Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Namun nilainya cukup tinggi, mengatasi nombor pendaftaran W1N yang dibida pada harga RM746,000.
Nombor plat istimewa F1 kini menjadi milik sultan Johor apabila memenangi bidaan pada nilai RM836,660. Sultan Ibrahim Iskandar berjaya membida nombor plat WWW1 dengan nilai RM520,000 pada 2012.
Menurut portal Berita Harian, nombor F2 dibida pada harga RM514,800 oleh Goh Fong Yee, diikuti F9 oleh Trans Penang Inn Sdn Bhd dan F7 oleh Pli Trading Sdn Bhd dengan masing-masing pada nilai RM404,800 dan RM396,000.
Nombor plat F8 dengan harga RM385,000, diikuti F5 dibida dengan nilai RM366,250. Plat F333 dibida pada nilai RM355,000 dan F3 pula berharga RM344,300.
Nombor plat F22 dibida RM250,800, manakala F4 dibida RM250,000.
Keputusan bidaan nombor pendaftaran tersebut ditampal di Bahagian Pelesenen Kenderaan di Kementerian Pengangkutan pada jam 3 petang tadi.
Bidaan nombor pendaftaran Kuala Lumpur, dengan abjad baru “V”, bermula 15 Julai hingga penghujung bulan ini. – MalayMail
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW