Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan merasmikan pusat latihan tertutup Dato’ Suleiman Mohd Noor bagi latihan pasukan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).
Fasiliti baharu yang terletak di Padang Seri Gelam, ini merupakan ilham Tunku Mahkota Johor sejak menerajui Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) bagi menaikkan imej sukan berkenaan di negeri tersebut.
Dalam pada itu, ilham untuk membina sebuah padang latihan tertutup di Padang Seri Gelam, di Johor Bahru, bermula pada Oktober tahun lalu dan reka bentuk akhir fasiliti itu diluluskan Tunku Ismail pada Disember 2014.
Kos pembinaan padang latihan tertutup pertama di Asia Tenggara itu melibatkan kos RM18 juta dan ditaja sepenuhnya Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
Sehubungan itu, struktur dan kemudahan padang itu dibina mengikut spesifikasi ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengikut saiz, pencahayaan dan kualiti rumput sintetik yang terbaik.
Ciri prasarana itu direka dengan kepakaran arkitek-arkitek tempatan menggunakan konsep terkini, dan ia sekali gus menjadikan sukan bola sepak kini mampu dicapai tahap lebih tinggi bukan sahaja di Johor malah negara.
Terdahulu, majlis pecah tanah pusat latihan berkenaan disempurnakan oleh Tunku Puteri Johor, Tunku Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim pada januari tahun lalu.