loading...

Pilihanraya Di Negara Ini Adil Dan Bersih – SPR

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihatkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya tidak mengheret suruhanjaya bebas itu dalam perang politik.

 

Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah memberi ingatan itu susulan tindakan Dr Mahathir bersama parti pembangkang menandatangani ‘Deklarasi Rakyat’ antara lainnya menuntut supaya SPR melaksanakan pilihanraya secara telus dan adil.

 

“Sebenarnya saya tidak boleh komen, itu masalah politik tetapi seolah-oleh dia (Dr Mahathir) nak kaitkan dengan pilihanraya. Tugas kita (SPR) menjalankan tugas untuk mengendali pilihanraya dan tidak mempunyai kaitan dengan politik, ” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Menara SPR di sini hari ini.

 

Hashim berkata, pilihanraya di negara ini telah dijalankan secara adil dan bersih.

 

“Di mana tidak adil?. Kalau kita tidak adil dan kita memihak kepada pihak-pihak tertentu (kerajaan), tidak ada pula beberapa negeri jatuh kepada pihak-pihak tertentu (pembangkang) dan negeri yang jatuh kepada pihak tertentu (pembangkang) negeri yang kaya.

 

“Ini bererti kita telus, jangan salahkan kita, kalau nak bergaduh dalam politik, bergaduh dalam politik, jangan kaitkan SPR. SPR cuma menjalankan pilihanraya,” katanya.

 

Hashim berkata, beliau mengakui sebagai badan yang mengendalikan pilihanraya tidak boleh lari daripada berdepan dengan pelbagai tomahan daripada masyarakat, malah mengakui sukar untuk menepis segala tomahan yang dibuat terhadap SPR.

 

“Deklarasi Rakyat” yang diketuai Dr Mahathir membuat beberapa tuntutan antaranya mendesak pilihanraya diadakan secara adil selain meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berundur.

 

Mengulas mengenai pilihanraya negeri Sarawak, Hashim berkata tarikh pilihan raya akan diketahui selepas pembubaran DUN negeri itu.

 

“Saya sendiri tidak tahu bila dewan itu dibubar, bila DUN bubar dan speaker DUN maklum kepada kita secara bertulis baru kita akan akan ambil alih untuk menjalankan pilihanraya.

 

“Malah kita sudah bersedia hampir 90 peratus untuk mengendalikan pilihanraya tersebut,” katanya.

Previous
Next Post »
loading...