KUALA LUMPUR – PAS tidak akan terlibat dengan usul undi tidak percaya oleh Datuk Seri Ahmad Said di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Katanya, PAS menyerahkan perkara itu kepada UMNO Terengganu sebagai kerajaan pemerintah.
“Biasa sahaja (isu Terengganu). PAS tidak akan terlibat (dalam undi tidak percaya) ini terpulang pada UMNO kerana mereka majoriti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lobi Parlimen, hari ini.
Semalam, bekas Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said membentangkan usul undi tidak percaya kepada penggantinya Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.
Namun usul berkenaan ditolak Speaker DUN Terengganu, Datuk Mohd Zubir Embong kerana tidak memenuhi syarat.
Mengulas lanjut, Hadi menyatakan, PAS tidak akan terlibat dengan isu perebutan jawatan walaupun bersetuju untuk melaksanakan perubahan.
“Kita akan terlibat di dalam isu-isu yang munasabah bukan isu yang hendak rebut jawatan,” jelasnya.
Hadi sewaktu berbahas di Parlimen juga menyatakan Islam tidak menggalakkan pemimpin dipecat sebaliknya perbetulkan pemimpin tersebut. – FMT