Kuala Lumpur – Tun Mahathir Mohamad, pemberontak UMNO dan parti komponen PH dicabar supaya bergabung melawan UMNO dalam pilihan raya akan datang.
Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin berkata sayap pemuda parti Melayu itu bersedia mengukur sejauh mana kekuatan gabungan Tun Mahathir dan sekutu, DAP, AMANAH dan PKR di atas pentas demokrasi.
“Tun Dr Mahathir dan rakan-rakannya sedia maklum, penentuan bagi siapa yang akan menerajui kerajaan tidak boleh dibuat pada satu sidang media mahupun melalui kempen menandatangani memorandum.
“Jika mereka tidak puas hati, kami cadangkan mereka bergabung dalam satu perikatan politik rasmi dan berdepan dengan Barisan Nasional pada pilihanraya umum kelak,” kata Khairy dalam satu kenyataan yang diterima FMT.
Pemuda UMNO melahirkan rasa dukacita kerana Tun Dr Mahathir sanggup mengenepikan pendirian dan bersekongkol dengan seterunya, seraya menandakan bermulanya politik ‘matlamat menghalalkan cara’ melawan parti Melayu itu.
“Mereka yang berkongsi pentas dengan Tun Dr Mahathir ini jugalah yang beliau telah menentang selama kerjayanya yang cukup lama,” tegas Khairy.
Mengakhiri cabarannya, Khairy berkata ketika ini, UMNO-BN tiada masa melayan karenah politik dan akan terus menjayakan program transformasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menurut beliau akan “berjaya mengekalkan kestabilan politik, menjana pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat”.