loading...

Akhirnya Mahathir Terima DAP – Annuar Musa

Kuala Lumpur – Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa mengucapkan tahniah kepada pemimpin pembangkang kerana menerima bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah bertahun-tahun dengan UMNO.

 

Katanya, tindakan pembangkang menerima kepimpinan Mahathir mengepalai deklarasi rakyat menumbangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merupakan takdir dan karma dalam sejarah politik Malaysia.

 

“Kita ucapkan tahniah kepada DAP, PKR, PAN dan BERSIH kerana akhirnya menerima pimpinan mantan presiden UMNO (Dr Mahathir), yang sebelum ini berpuluh tahun kami dalam UMNO berjuang supaya anda menerima pimpinannya.

 

“Mungkin Pakatan Harapan patut mula memikirkan pula usaha bersama Tun Mahathir membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dulunya dipecat dan didakwa susulan arahan Tun Mahathir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Dalam pada itu, Annuar Musa berharap UMNO akan terus beristiqamah dengan proses demokrasi yang dipertahankan selama ini.

 

“UMNO tidak mampu berdrama kerana mandat rakyat adalah untuk kita berkhidmat membela nasib rakyat yang secara sebenar memerlukan kita mengerah segala kekuatan dan keupayaan mengurus negara dalam situasi dunia media baru yang tidak menentu.

 

“Kepada ahli UMNO marilah kita rapatkan saf dan beristiqamah bahawa pemimpin datang dan pergi tetapi perjuangan kita tetap Perkasa,” katanya.

Previous
Next Post »
loading...