Kota Kinablu – Pergerakan Wanita UMNO mengecam tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sanggup bersekongkol dengan pemimpin pembangkang dalam cubaan untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak.
Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata Wanita UMNO berasa kecewa dan kesal dengan tindakan mereka dalam cubaan untuk menjatuhkan kepemimpinan utama negara kerana dendam kesumat serta kepentingan peribadi.
“Saya merujuk kepada Deklarasi Rakyat Tun Mahathir, Muhyiddin dan beberapa pihak yang sekian lama menjadi musuh ketat mereka antaranya Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang berkumpul petang semalam, dalam cubaan menjatuhkan Perdana Menteri.
“Deklarasi ini membuktikan Tun Mahathir dan Muhyiddin sudah mencabul semua prinsip yang dipegang dan diperjuangkan ketika mereka menjadi pemimpin dalam UMNO.
“Justeru, Wanita UMNO yang bersidang pada malam ini, mewakili semua ahli Wanita UMNO seluruh negara mengambil ketetapan sebulat suara memberikan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO untuk terus memimpin negara ini,” katanya dalam sidang media di sini sebentar tadi.
Shahrizat berkata, Wanita UMNO turut meminta Perdana Menteri untuk terus memberi perhatian beliau kepada agenda pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.
“Biarlah rakyat yang menentukan siapa yang akan dipilih meneraju negara sekali lagi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan bukan segelintir bekas pemimpin yang mempunyai agenda tersendiri,” katanya.