SEPANG – Jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang percaya, tahun ini adalah masa terbaiknya untuk merangkul pingat emas Sukan Olimpik selepas kecewa dalam dua penampilan terakhir.
Pada temasya di Beijing 2008, Azizulhasni sekadar meraih tempat ke-10 keirin dan kelapan acara pecut, manakala dalam Sukan Olimpik 2012 di London, pelumba yang terkenal dengan jolokan The Rocket Pocket Man itu mempamer peningkatan apabila menamatkan acara keirin di tempat keenam keseluruhan dan kelapan dalam saingan pecut.
Kata Azizulhasni, dia kini lebih matang, terutama dalam soal kemahiran individu dan pengalaman dimiliki yang membantunya beraksi dalam temasya berprestij itu.
Tambahnya, menyertai satu acara sahaja iaitu keirin pada penyertaan kali ini berbanding sebelum ini membolehkannya memberi tumpuan seratus peratus, sekali gus berkeyakinan untuk memburu emas Sukan Olimpik pertama buat negara.
“Kejayaan meraih gangsa pada Kejohanan Trek Dunia di London minggu lalu adalah satu permulaan baik buat saya untuk ke Rio dalam baki 20 minggu ini.
“Saya juga tidak fikir usia saya 28 tahun ketika ini sebagai penghalang untuk melakukan yang terbaik kerana kebanyakan jaguh dunia mencapai kecemerlangan dalam usia 30 tahun dan ke atas.
“Apa yang perlu saya waspada adalah agar tidak mengalami kecederaan, terutama ketika persediaan menghadapi Sukan Olimpik 2016,” katanya selepas majlis pengumuman rasmi layak ke Sukan Olimpik Rio oleh penajanya, Yayasan Sime Darby semalam.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan Sime Darby, Tun Musa Hitam amat bangga dengan pencapaian Azizulhasni dan pelumba wanita negara, Fatehah Mustapa yang berjaya meraih slot ke Olimpik Rio, Ogos ini.
“Tahniah Azizulhasni atas gangsa yang dimenangi yang terus meletakkan nama Malaysia di peringkat tertinggi,” kata Musa.