MADRID – Gol babak kedua Cristiano Ronaldo dan James Rodriguez membantu Real Madrid menewaskan Roma 2-0 sekali gus mara ke suku akhir Liga Juara-Juara buat kali keenam berturut-turut, awal pagi tadi.
Ronaldo menyumbat gol ke-13 kejohanan musim ini pada minit ke-64 sebelum Rodriguez menjaringkan gol kedua selang empat minit kemudian bagi membolehkan Real menang dengan agregat 4-0.
“Satu perlawanan yang sukar tetapi pada penghujungnya kami menemui objektif iaitu mara ke pusingan seterusnya,” kata jurulatih Real, Zinedine Zidane.
“Dalam tempoh 90 minit, apa juga boleh berlaku kerana kami berdepan pasukan yang dilengkapi pemain yang hebat namun kami berjaya menyempurnakan tugas kami.”
Roma memperoleh beberapa peluang sebelum Real meledak gol, namun pelawat tidak mampu menterjemahkannya bagi menebus kekalahan 0-2 di Rome, sekali gus gagal dalam percubaan melayakkan diri ke suku akhir buat pertama kali dalam tempoh lapan tahun.
Penyerang, Mohamed Salah melepaskan dua peluang berharga yang mungkin boleh merubah perlawanan sekiranya berjaya menerjah gawang.
Penyerang, Edin Dzeko juga berada dalam posisi terbaik untuk membuka tirai jaringan namun turut mensia-siakan peluang berkenaan.
“Kamu boleh bayangkan sekiranya kami menjaringkan gol pertama, keputusan mungkin akan berbeza,” kata jurulatih Roma, Luciano Spalletti.
“Apapun, realitinya kami tewas 0-2 sebanyak dua kali berturut-turut. Real Madrid akhirnya mara ke suku akhir. Kami perlu meningkatkan pasukan dari sudut mentaliti. Kami tidak berada di tahap permainan diinginkan malam ini.” – AP