loading...

Zahid Seru Belia Kembalikan Selangor Kepada BN

SHAH ALAM – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyeru para belia di negeri ini agar mengembalikan Selangor kepada BN dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

 

Menurut Ahmad Zahid, kerajaan negeri hari ini tidak mengiktiraf belia di Selangor terutamanya Majlis Belia Selangor (MBS) yang dipimpin Datuk Irmohizam Ibrahim.

 

“Saya tahu permasalahannya ialah kita diketepikan. Datuk Noh (Omar) kata kerajaan negeri seolah-olah tidak mengiktiraf bukan seolah-olah tapi memang tak iktiraf.

 

“Kita tidak diberi peruntukan (tak apa). Jadi, PRU14 (BN) kena pastikan ambil alih semula Selangor. Kalau MBS nak diiktiraf semula, kalau tak mahu dihalau dari tempat kita mahu adakan perhimpunan, pastikan kita ambil alih semula kerajaan negeri ini,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MBS ke-32, di sini, hari ini.

 

Sebelum ini, Noh Omar selaku Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Selangor ketika menyampaikan ucapan mendakwa kerajaan negeri Selangor seolah-olah menganaktirikan dan tidak mengiktiraf MBS.

 

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kuasa untuk mengundi terletak di tangan golongan belia di mana sebanyak 40 peratus pengundi di negara ini merupakan di bawah 40 tahun termasuk pengundi baharu.

 

Menyentuh soal peruntukan yang tidak diterima dari kerajaan negeri, Ahmad Zahid memberi jaminan beliau dan Noh akan menguruskannya.

 

“Peruntukan setakat ini, insya-ALLAH, Datuk Noh akan selesaikan. Tak apa Noh, kita akan cari jalan. Datuk Irmo minta dengan Datuk Noh, saudara-saudara minta dengan Datuk Irmo. Itulah jalinan kita. Yang bawah minta pada yang atas, yang atas minta daripada yang lagi atas dan seterusnya.

 

“Jalinan ini harus ditimbal balas. Biasanya kita pandai minta tapi tak pandai memberi. Biasanya kita pandai menerima tetapi tidak pandai memberi kembali. Kita rasa berterima kasih tetapi kita tidak bersyukur,” katanya.-Sinar

Previous
Next Post »
loading...