Kuala Lumpur – Masyarakat Cina kecewa dan kesal dengan tindakan dua pemimpin DAP mempersendakan kaum sendiri dan perayaan Tahun Baru Cina menerusi sebuah klik video parodi bertajuk “GST dan Arab Year 2016”.
Rasa kecewa dan marah itu dinyatakan Ketua Hal Ehwal Kaum Cina Persatuan Minda Sosial dan Prihatin (PMSP) Malaysia, Tan Chee Chong setelah menerima rungutan daripada masyarakat itu yang tidak berpuas hati dengan sikap Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching memperlekehkan bangsa dan budaya sendiri.
Pada sidang medianya di PJ Industrial Park, Petaling Jaya tengah hari ini, beliau mahu kedua-dua Ahli Parlimen dari DAP itu memohon maaf kepada seluruh masyarakat Cina kerana video parodi itu telah menggores hati mereka.
“Saya mewakili seluruh masyarakat Cina (Tiong Hua) amat tidak puas hati dengan video CNY (Chinese New Year) yang disiarkan DAP. Ini menunjukkan parti DAP semakin kekurangan idea dan sanggup memperalatkan kebudayaan masyarakat Cina demi menjatuhkan imej pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN),” tegas beliau.
Dalam video berkenaan Pua dan Teo dilihat mengalu-alukan ketibaan waktu ‘Tuhan Kemakmuran’ dengan paket angpow merah yang diubah oleh ‘tuhan’ itu menjadi seorang lelaki berpakaian Arab yang memegang cek Ambank bernilai RM2.6 bilion.
Video itu juga menunjukkan sekumpulan orang melempar ke udara duit palsu, manakala Pua mempamerkan cek Ambank beralamat kepada “Perdana Menteri” dan Teo memegang beg tangan bersama cincin berlian besar.
Menurut Chee Chong, penerbitan video parodi ketika rakyat Malaysia menyambut Tahun Baru Cina sememangnya turut menghina masyarakat kaum Tiong Hua apabila mempersendakan watak God of Prosperity.
Pua dan Teo telah menggunakan perayaan Tahun Baru Cina sebagai cara untuk mereka memperlekehkan orang lain dan mempolitikkan perayaan itu.
“Adakah ini budaya Malaysia yang harus dicontohi? Saya mewakili kaum Thiong Hua mendesak mereka berdua memohon maaf atas video itu. Jangan sekali-kali bermain dengan isu agama,” tegasnya. – SuaraTV