KUALA LUMPUR – Anak bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengalu-alukan mana-mana pihak yang berminat untuk merakamkan riwayat hidup ayahandanya ke layar perak untuk tontonan umum.
Beliau bagaimanapun berkata, usaha tersebut perlu dilakukan mengikut fakta yang betul dan tidak bertentang dengan sejarah hidup bekas Menteri Besar Kelantan itu.
“Kita mengalu-alukan sesiapa saja dan sebarang usaha untuk mengetengahkan Allahyarham ayahanda dalam apa cara sekalipun.
“Cuma kita harap apabila dibawa (ke layar perak), ia sejarah, jadi kita harap pertamanya fakta kena betul, jangan buat filem yang menokok tambah sehingga generasi akan datang memahami sejarah Tuan Guru dengan fakta yang salah,” katanya pada sidang media di Pejabat Agung Pas, di sini, hari ini.
Beliau mengulas hasrat pengarah terkenal tanah air, Aziz M. Osman yang mahu menghasilkan filem mengisahkan Allahyarham Nik Abdul Aziz suatu hari nanti.
Aziz berkata, perkara itu tidak mustahil untuk direalisasikan kerana dengan cara itu dapat menceritakan bagaimana Allahyarham mendidik rakyat Malaysia khususnya di Kelantan dalam soal hudud.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu juga terharu dengan semua pihak tanpa mengira parti politik kerana mendoakan Allahyarham Nik Abdul Aziz bersempena dengan setahun pemergian ayahandanya pada 10 Februari lalu.
“Saya sekeluarga cukup terharu yang kawan-kawan dalam Pas, Pakatan Rakyat, sahabat dari Amanah pun ada, saya tengok Perdana Menteri pun retweet saya punya tweet yang turut mendoakan, saya ucapkan terima kasih. Sinar