ALOR SETAR – Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kedah yang sepatut diadakan esok, telah ditangguhkan.
Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Akhbar Menteri Besar Mohd Fisol Jaafar tetapi beliau tidak mengulas lanjut atau menyatakan sebab mesyuarat itu ditangguhkan.
“Ditangguh,” katanya ketika dihubungi menerusi Whatsapp malam ini.
Sementara itu satu-satunya wakil MCA yang dilantik sebagai Exco, YB Leong Yong Kong enggan mengulas lanjut berhubung perkembangan terbaru itu.
“Tiada komen,” katanya ringkas ketika ditemui SuaraTV sebentar tadi.
Rabu lepas, mesyuarat Exco kerajaan negeri hanya dihadiri Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan tiga Exco iaitu Datuk Aminuddin Omar, Datuk Suraya Yaacob dan Datuk Norsabrina Mohd Noor.
Ketidakhadiran enam lagi Exco dipercayai ada kaitan dengan krisis politik di negeri ini yang membabitkan kedudukan Mukhriz.
Difahamkan, mesyuarat Exco memerlukan kehadiran sekurang-kurangnya empat orang Exco bagi mengesahkan perkara yang dibincangkan.
Baru-baru ini, para pemimpin Umno Kedah yang diketuai Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah secara terbuka menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai menteri besar dan Pengerusi Umno Kedah.