loading...

Lelaki Kelakar Selalunya Ayah Yang Tegas Tapi Jangan Diusik Anak-Anaknya, Sangat Protective!

Ramai mengenali Nabil Ahmad sebagai pelawak dan penghibur. Lasak bersahaja dan orangnya ceria. Tak pernahlah lihat Nabil bermasam muka di mana-mana. Mendekati personaliti ini, Pa&Ma sempat bertanyakan tentang perwatakannya dengan anak-anak. Isterinya, Zira Ayub memberitahu yang artis ini sangat tegas dalam mendidik anak-anak tetapi dia juga akan memanjakan mereka.

Bercerita soal perwatakan Nabil di rumah, Zira memberitahu dia seorang suami dan ayah yang tegas. Dia akan memberitahu apa yang boleh dan tidak kepada anak-anak. Dalam ketegasannya itu, dia sangat memanjakan kesemua anak mereka. “Dia tegas, tetapi manja sangat dengan anak-anak. Budak berdua ni pun (merujuk kepada Mikayla dan Medyna), kalau ada ayahnya bukan main behave,” terang Zira.

Tambah Zira, Mika dan Babyna sangat rapat dengan ayah mereka. “Macam yang kita tahu, anak perempuan rapat dengan ayah. Mereka pun macam tu, rapat dengan Nabil,” tambah Zira. Nabil pula memberitahu, anak-anak mungkin rapat dengannya kerana jarang dapat berjumpa. “Mereka selalu dengan Zira, sebab tu bila saya ada mereka jadi rapat dengan saya. Saya rasa, masih ada perangai-perangai mereka yang saya tak tahu,” beritahu selebriti pelawak terkenal ini lagi.

Soal menguruskan anak-anak pula, Nabil serahkan kepada Zira. “Saya percayakan dia untuk menguruskan anak-anak. Memang dia yang selalu dengan mereka. Tapi saya akan beritahu cara bagaimana yang saya mahukan. Dia akan gabungkan kedua-dua cara kami, mengikut kesesuaian ketika dia uruskan tiga orang anak kami ni,” kata Nabil.

Nabil Masih Sama

Bertanyakan tentang perangai Nabil sebelum dan selepas bergelar ayah, Zira memberitahu yang dia masih sama. Tiada yang berubah. Masih lelaki penyayang dan mengambil berat seperti dahulu. “Cuma kalau ada beza tu, dulu dia sayangkan saya. Sekarang ni lebihkan pada anak-anak. Kasih sayang dia dah terbahagi antara saya dan anak-anak. Dia ayah yang bertanggung jawab, itu dah cukup untuk buat saya bersyukur,” kata Zira.

Artikel Menarik: [Sebaiknya Tugas Memandikan Bayi Dilakukan Oleh Bapa Sambil Berzikir “Ya Latiff”]

Berkongsi momen Zira disahkan hamil anak pertama mereka, Nabil memberitahu yang dia menangis ketika mengetahuinya. Tidak mahu jatuh ego, dia menangis ketika mandi di bawah shower. “Kami menunggu enam bulan juga sebelum Zira hamil. Waktu tu pula, kawan-kawan ramai yang bertanya. Saya dan Zira cuba pelbagai cara untuk hamil. Akhirnya yang berkesan bila saya amalkan susu kambing dan kurma. Sebulan selepas itu, terus ‘sangkut’,” cerita Nabil.

Hari Minggu Baru Boleh Makan Manis

Ketika ditanyakan tentang soal pemakanan anak-anaknya, Zira memberitahu dia memasak untuk mereka. Mereka jarang makan di luar kerana Nabil suka masakan rumah. Oleh itu, Zira akan sediakan makanan untuk suami dan anak-anaknya. “Kalau masak sendiri, lebih sihat dan jimat. Kita boleh kawal gula dan garam dalam masakan. Selain tu, kita yakin apa yang kita masukkan ke dalam masakan,” cerita Zira.

Katanya lagi, sebelum ini mereka benarkan anak-anak untuk makan apa saja. Tetapi selepas Mika didapati mempunyai ekzema yang agak teruk, dia dan Nabil mula mengawal pemakanan anak-anak. Nabil pula memberitahu, biasanya dia dan isteri akan membenarkan anak-anak untuk makan gula-gula, coklat dan aiskrim pada hari minggu sahaja.

Memandangkan Nabil dibesarkan dengan makanan yang mudah seperti nasi, telur dan kicap, jadi anak-anak mereka juga dididik makan begitu. Tidak mahu anak terlalu dimewahkan supaya mereka tidak terlalu memilih untuk makan. Ditanyakan apa makanan yang paling anak-anak mereka suka, Zira memberitahu kedua-duanya suka makan spageti carbonara.

Perwatakan Anak-Anak

Mika seorang yang sangat berdikari dan dalam masa yang sama cukup manja dan peramah. Tambah Zira pula, Mika sangat suka menari dan menyanyi. Mungkin mewarisi darah seni yang mengalir dalam tubuhnya. Biarpun Mika anak yang sangat manja dan masih kecil namun dia menunjukkan sikap penyayang pada adik-adiknya.

Artikel Menarik: [Dalam Sehari 5 kali Ulang Cakap, Anak Tak Ikut Baru Boleh Tunjuk Rotan]

Ketika ditanyakan tentang siapa yang mengikut perwatakan Nabil, pasangan ini hanya ketawa. “Dah nampak sangat dah, memang Mika yang mengikut ayahnya. Dia banyak bercakap dan buat lawak seperti ayahnya. “Dia pun selalu cakap, I want to be like daddy,” kata Zira. “Dahlah muka dia pun macam saya, kalau saya rambut panjang, macam tulah rupa saya,” tambah Nabil pula.

Babyna pula pemalu bila berhadapan dengan orang tak dikenali tetapi bila di rumah, dialah anak paling manja. “Babyna banyak bermain dan suka berinteraksi dengan kita. Paling kuat bergaya dan manja. Dah ada adik pun kita masih panggil Babyna. Dia tak banyak bercakap dengan orang yang tidak dikenali, tapi kalau dengan keluarga dia sebenarnya ceria. Walaupun ada masanya dia bergaduh dengan kakaknya, tapi dia sayang Mika. Biasalah adik-beradik,” cerita Zira lagi.

Biarpun masih kecil, Mishall boleh dilihat sebagai seorang bayi yang ceria dan tidak banyak ragam. Sepanjang sesi fotografi dibuat, dia mudah tersenyum dan akan ketawa jika diagah. “Kalau dengan Zira dan Mika, lagi kuat dia ketawa. Anak kami yang ketiga ni mudah terhibur dan dia juga mudah dijaga. Jarang meragam kecuali kalau lapar atau mengantuk saja,” kata Nabil.

Jangan lupa saksikan rancangan terbaharu yang dibawakan oleh Pa&Ma – Kecoh Kecah Nabil & Clan bermula pada 9 Oktober 2019 untuk episod 1 dengan tajuk Reaksi Alahan Anak. Rancangan ini akan ditayangkan setiap Rabu pada jam 9.00 malam di Astro Prima dan Prima HD.

Previous
Next Post »
loading...