loading...

Bolehkah Seseorang Muslim Dengan Sengaja Merosakkan Undi?

hukum undi rosak pilihanraya umum ke 14 2018

Merosakkan undi kini menjadi satu topik hangat di negara kita, melalui gerakan sesetengah pihak yang mempopularkan 'hashtag' #undirosak sebagai slogan. Sebagai sebuah negara Islam, masyarakat kita sepatutnya tidak terburu-buru dan bertindak sewenang-wenangnya dalam menyokong gerakan tersebut, hanya kerana kita merasakan undi rosak adalah jalan keluar yang adil.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri  telah pun menceritakan tentang persoalan ini yang diajukan padanya pada bulan Januari lalu. Sebagai menjawab persoalan tentang isu ini dan cuba membantu merungkaikan persoalan masyarakat dalam menyelia populariti gerakan undi rosak, beliau telah pun berkongsikan pandangan beliau yang telah dikongsikan dalam laman web beliau.

Apakah hukum undi rosak atau merosakkan undi dengan sengaja? Adakah tidak salah merosakkan undi? Berikut adalah rumusan yang kami dapat daripada perkongsian beliau.

Hak sebagai pengundi

rosakkan undi

Menurut Tuan Mufti, hukum mengundi sekiranya ditakrif berdasarkan undang-undang negara kita melalui apa yang terkandung dalam Perlembagaan negara, perlu dilihat bukan sekadar satu bentuk hak di mana kita boleh memilih atau menolak untuk melakukannya.

Dengan mengambil kira prinsip rukunegara yang kita guna pakai sebagai ters pembentukan masyarakat, sistem pilihanraya yang diadakan serta proses pembuangan undi sepatutnya dianggap oleh rakyat Malaysia sebagai satu bentuk pelaksanaan perlembagaan negara, yang juga mencakupi pelaksanaan undang-undang.

Wakil rakyat yang dilantik berdasarkan keputusan pilihanraya, akan bertindak sebagai pembuat dasar serta penggubal undang-undang dalam melindungi dan menjaga negara serta rakyat.

Tuan Mufti berpendapat sepatutnya masyarakat melihat mengundi bukan sebagai hak seorang warganegara lagi, tetapi sebagai satu perbuatan wajib, berdasarkan hujah sesuatu perkara itu tidak sempurna selagi mana perkara tersebut tidak disempurnakan.

Hujah kewajipan melantik pemimpin

undi rosak

Ada banyak pendapat ulama' yang menekankan kepentingan melantik pemimpin. Imama Ghazali meletakkan pemerintah sebagai pengawal kepada agama dan seorang Muslim sepatutnya memenuhi tanggungjawab mereka dalam apa cara sekalipun, memilih pemimpin bagi mengelakkan keruntuhan pada masyarakat kerana ketiadaan pengawal agama.

Imam al-Nasafi pula memberitahu pemerintah adalah penyambung dan pengganti kepada pemerintahan Rasulullah saw. jadi wajib bagi semua umat dan pengikut Rasulullah untuk menegakkan agama Islam, dengan melantik pemimpin yang baik.

Ibnu Khaldun pula menyifatkan tanggungjawab pemerintah memikul urusan syarak dan kemaslahatan masyarakat sebagai sesuatu tanggungjawab yang besar, kerana apa saja yang diputuskan oleh pemerintah memberikan kesan kepada mereka dan juga masyarakat yang dijaganya jadi kepentingan memilihnya merupakan tugas setiap umat Islam.

Menurut salah seorang ulama' paling terkenal, Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi pula, dia memandang mengundi itu sebagai satu perkara yang wajib berlandaskan syarak, semasa dia membincangkan berkenaan pilihanraya Mesir yang lalu. Hujah beliau, seseorang Muslim yang tidak mengundi atau sengaja merosakkan undi, adalah seseorang yang cuba menyebunyikan dirinya daripada tanggungjawab memilih pemimpin.

Pandangan individu-individu lain

azhar idrus undi rosak

Bagi penceramah terkenal yang mampu membuatkan kita tidak kering gusi, Ustaz Azhar Idrus, tidak ada kewajipan untuk umat Islam menyertai pilihanraya secara amnya. Bagaimanapun, umat Islam wajib memainkan peranan mereka dalam memilih pemimpin seandainya tindakan tidak memilih dengan betul, akan merugikan umat Islam sendiri.

Dengan memberi contoh ada dua pihak satu mahu membina masjid dan lagi satu pihak mahu membina kasino, menjadi kewajipan kepada umat Islam untuk memastikan pihak yang mahu membina masjid menang. Beliau juga mengulas sekiranya ada pengundi mengundi rosak sehingga menyebabkan jatuhnya pemimpin yang mahu melaksanakan syariat Allah, perkara itu boleh dianggap sebagai satu kesalahan dari segi syariat.

Menurut Dr. Asri Zainal Abidin pula, pendapat beliau seiring dengan pandangan Ustaz Azhar Idrus apabila memperkatakan tentang undi rosak atau tidak keluar mengundi. Pada pandangan beliau, untuk membincangkan tindakan undi rosak ini perlu dilihat kepada kesan apa yang akan berlaku, sekiranya undi rosak dilakukan.

'Apa yang akan berlaku sekiranya dengan tidak mengundi, kuasa memerintah akan membolehkan kuasa jatuh pada tangan pihak tidak sepatutnya?' soal beliau. Dr. Asri juga setuju sekiranya kerajaan mengarahkan dan memerintahkan mengundi, dengan tujuan kebaikan dalam memastikan rakyat memilih pemimpin negara - tindakan mengundi boleh dikatakan wajib di atas dasar mentaati pemerintah, dalam perkara yang baik.

Dari pandangan pakar akademik pula, Dr. Maszlee Malek pula berpendapat pengundi yang menyokong gerakan undi rosak sepatutnya mampu melangkau ke tahap lebih tinggi dalam pemahaman politik. Menurut beliau, anak-anak muda yang cakna politik boleh menggunakan kesedaran yang mereka ada dalam kempen undi rosak ini, untuk menggunakan tenaga mereka menukarkan kempen itu kepada satu gerakan yang lebih pro-aktif dalam politik.

Dr. Maszlee menasihatkan agar protes undi rosak yang dilakukan, ditukarkan menjadi gerakan menuntut pembaharuan tak kiralah dari pihak kerajaan atau pembangkang, kerana itu mampu mewujudkan budaya politik yang lebih sihat, berbanding hanya sekadar berkempen undi rosak yang nampak seperti jalan mudah untuk memprotes tanpa mendapat sebarang faedah, pada hujungnya.

Bagi golongan anak muda, beliau berharap agar anak muda dapat menjadi ahli advokasi politik tidak partisan yang mendidik masyarakat bagaimana mahu membuat keputusan lebih baik, dalam memilih pemimpin. Tidak ada alternatif lain untuk beliau selain daripada keluar mengundi pada hari pilihanraya.

Pandangan Dr. Zulkifli

fatwa mufti wilayah berkaitan undi rosak

Dr. Zulkifli bersetuju mengenai kepentingan pemerintah di kalangan semua umat Islam dan rakyat Malaysia khasnya. Jawatan pemimpin perlu demi menjaga kestabilan negara, serta pelaksanaan hukum-hakam kerana pemerintah mempunyai kuasa untuk melantik wakil-wakil dalam banyak bidang yang diperlukan institusi sebesar negara.

Orang ramai diminta untuk lebih memahami dalam hukum Islam, terdapat dua kategori hukum iaitu hukum imamah yang terbentuk hasil pemerintahan dan hukum siasah syar'iyyah yang terbentuk hasil politik Islam. Kedua-dua hukum ini terbentuk melalui aturan hidup yang ditentukan oleh umat Islam sendiri, bersifat fleksibel dan tidak ada hukum khas dalam syara'. Contoh bidang yang masuk ke dalam kategori ini adalah sistem kewangan, ketenteraan dan pengurusan tawanan seperti banduan atau pengintip.

Dua jenis hukum ini bergantung kepada perbincangan dan pendapat pemerintah, bergantung kepada keadaan umat Islam dan keseluruhan rakyat, khasnya jadi perlantikan pemerintah yang mampu menjalankan sistem ini amatlah diperlukan supaya dapat dilaksanakan.

Bagi mengelakkan ketidak stabilan kepada negara, Dr. Zulkifli memfatwakan; ekoran tingginya kepentingan melantik pemerintah negara dia berpendapat hukum merosakkan undi dengan sengaja adalah haram. Beliau juga berpendapat seseorang yang tidak mengundi dan tidak mendaftarkan dirinya sebagai pengundi, adalah satu kesalahan sekiranya dia seorang Muslim.

Berdasarkan hujah-hujah yang telah disampaikan, amat jelas sekali menyokong perbuatan undi rosak sebenarnya adalah satu kesilapan yang mampu menyebabkan Malaysia terjerumus ke dalam masalah yang lebih besar.

Nasihat akhir kami, 'marilah mari, pergi mengundi, jangan lupa kewajipan pada negara.'

Rujukan

Bayyan Linnas siri ke 126

Previous
Next Post »
loading...